Rabu, 29 Februari 2012

Information is necessary but not enough to becoming a knowledge

Adakah dengan lambakan maklumat menjadikan seseorang itu berilmu?
Adakah ilmu yang dihafal berguna daripada ilmu yang difahami?
Walaupun banyak maklumat, tetapi adakah ia berguna kepada kita?


Tak semestinya banyak maklumat menunjukkan bahawa seseorang itu berilmu.
Information is necessary but not enough to becoming a knowledge.

Al-Qur'anul'l-Karim berkali-kali menegaskan perbezaan antara ilmu (al-'ilm) dan dugaan (zann) atau tanggapan, dan pendapat atau rekaan sendiri (hawa) dan hasil pendapat-pendapat yang cuba untuk menafikan kebenaran sesuatu sehingga menimbulkan shak (mira). Sungguhpun ilmu atau al-'ilm itu memang terdapat dalam dasar fikiran Kebudayaan Barat, akan tetapi dugaan serta rekaan sendiri dan gaya menimbulkan shak terhadap kebenaran, iaitu zann, hawa dan mira ketiganya merupakan rumusan yang lebih difahamkannya sebagai ilmu.

Dalam falsafah mereka, yang membayangkan dasar fikirannya, maka ilmu atau al-'ilm, yang diistilahkannya sebagai episteme itu, dicampuradukkan dengan dugaan atau zann dan yang lain-lain tadi seperti hawa dan mira, yang ma'na dan maksudnya semua terangkum dalam istilah-istilah methodos dan theoria.

Memang benar bahawa insan itu mempunyai bawaan semulajadi yang membolehkan dia menerima, menyusun dan merumuskan ilmu nescaya dapat memperoleh kebenaran. Sebab inilah dia dita'rifkan sebagai al-hawayan al-natiq, iaitu 'haiwan yang berakal'. Perkataan al-natiq yang terdapat di hujung ayat, yang telah diterjemahkan di sini sebagai 'berakal' itu, sebenarnya berma'na 'mempunyai daya berkata-kata', sebab fikiran itu menyalurkan fahamnya menerusi 'kata-kata' (al-nutq), yang dengan pengertian lain bermaksud 'bahasa'. Maka 'kata-kata' yang dimaksudkan itu merujuk kepada penyusunan dan tatatertibnya serta penggunaanya dalam membicarakan pemikiran.

Dengan inilah maka maksud istilah al-natiq itu merujuk kepada akal (al-'aql), dan dalam istilah para failasuf Yunani maksud ini difahamkan dengan perkataan logos, sedangkan dalam bahasa Latin, yang menjadi bahasa ilmu pengetahuan Barat pada Abad Pertengahan, perkataan dan istilah tersebut diterjemahkannya dengan perkataan ratio. Sebenarnya, terjemahan faham logos (Yunani) atau al-nutq (Islam) ini dalam bahasa Latin sebagai ratio tiada tepat, dan mengelirukan, oleh kerana ma'na yang terkandung dalamnya samar serta kabur, sebagaimana terbukti kekeliruannya dalam sejarah pemikiran Barat hingga kini.

Sebagaimana juga logic itu timbul dari perkataan logos, begitulah al-mantiq, itu timbul dari perkataan al-natiq, yang membawa ma'na: 'cara menyemak dan menyusun dengan tertib kata-kata hujah dalam sesuatupembicaraan mengikut bawaan akliah', dan mempunyai tujuan bagi 'mengemukakan pendapat untuk membuktikan sahnya pendapat yang dikemukakan itu dari segi ilmiah'. 'Pembicaraan' yang dimaksudkan di atas itu dilangsungkan antara dua pihak mengenai soal yang sulit dan rumit, yang menghendaki jawapan yang dapat diterima sebagai sah, dan diistilahkan dalam bahasa Yunani dengan perkataan dialogos (dalam bahasa Inggeris dialogue, yang telah kita ambil kini sebagai dialog), sedangkan para ulama Islam menggunakan istilah al-kalam baginya, dan dari itulah maka para ahlinya semua digelar dengan nama Mutakallimun.

Akal dan kalbu dan fikiran serta cara-cara berfikir adalah alat-alat diri ruhani bagi menerima, menyimpan, mengekalkan dalam ingatan dan menyemak serta menyusun ilmu mengikut taraf penilaiannya dalam kehidupan diri.

Ilmu adalah suatu proses atau gerak-daya memperoleh pengetahuan dan merujuk kepada suatu sifat yang berada pada sesuatu (Insan) yang hidup, yang membolehkan diri yang mengetahui itu mengetahui yang diketahui. Ilmu juga pengenalan atau ma'rifat terhadap yang dikenali sebagaimana adanya. Pengenalan ini pengenalan yang yakin tentang kebenarannya, dan merujuk kepada hikmah. Maka ilmu adalah sesuatu yang meyakinkan dan memahamkan dengan nyata.

Mengenali dan mengetahui sesuatu itu adalah mengenali dan mengetahui sebab-sebab wujud dan keadaan sesuatu yang dikenali dan diketahui. Ilmu adalah gerak-daya memperoleh atau menghasilkan sesuatu menerusi tilikan akal--iaitu tilikan yang memandang hakikat sesuatu seperti adanya.

Ilmu juga perolehan kalbu mengenai sesuatu, yang menggambarkan hakikatnya dengan secara tepat dan jenih, baikpun hakikat itu hakikat yang zahir di alam shahadah mahupun yang batin di alam ghaib.

28 Februari 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan