Sabtu, 29 Disember 2012

Godaan Syaitan

Syaitan dan iblis benar-benar musuh yang nyata kepada orang Mukmin. Meskipun syaitan secara mati-matian menggoda manusia, tetapi apakah Allah membiarkan umat manusia daripada keturunan anak-anak Adam bergelumang dengan dosa akibat rayuan dan pujukan syaitan? Tentu tidak. Kerana Allah Maha Pemurah dan Penyayang. Allah juga memberikan kekuatan Rabbaniah (Ketuhanan) dalam diri manusia yang secara fitrah mampu menandingi kekuatan syaitan, iaitu keikhlasan. Seperti yang dinyatakan iblis dan dinukilkan dalam al-Quran, iblis tidak mampu menggoda manusia yang ikhlas kepadaNya.

Secara fitrah, sesungguhnya Tuhan sudah membekalkan unsur-unsur kebaikan serta unsur-unsur keburukan dalam diri manusia, sehingga keputusan pilihannya bergantung pada manusia.
"Demi diri manusia dan Yang Menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)." (As Syam: 7-9)
Dengan kata lain, sesungguhnya malaikat berperang dengan syaitan dalam hati manusia, hasilnya bergantung pada sikap manusia itu.

Seorang tokoh sufi terkenal, Yahya bin Mu'adz ar-Razi mengingatkan kaum Muslimin, "Syaitan ini pengganggu. Ia mempunyai banyak waktu menjalankan rencananya. Sedangkan manusia selalu sibuk dan syaitan mengetahuinya. Kita tidak melihat dan melupakannya, tetapi syaitan selalu mengingatkan kita dan menggunakan kelemahan ini bagi mengalahkan kita, syaitan itu mempunyai banyak pembantu."

Dalam buku Minhajul Abidin, 1995, al-Ghazali menjelaskan syaitan (iblis) harus dihadapi oleh kaum Muslimin dengan memerangi dan mengalahkannya. Alasan memerangi syaitan ada dua sebab, iaitu:

1. Syaitan adalah musuh yang menyesatkan. Dalam dirinya tidak terdapat kebaikan dan perdamaian. Mereka puas sekiranya mampu membinasakan manusia. sebagaimana Allah menceritakan dalam Surah Yasin, ayat 60,
"Bukankah Aku memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam, supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata kepada kamu."
2.  Sudah menjadi tabiat syaitan selalu memusuhi anak cucu Adam. Mereka selalu memerangi manusia siang dan malam, sedangkan kebanyakan manusia sering lalai dengan keadaan itu.

Bagaimanapun, sebenarnya kaum Muslimin lebih luas pandangannya berkenaan cakerawala dan segala sesuatu, kerana semuanya sudah diberitahu oleh Allah dalam al-Quran. Allah juga sudah menjelaskan iblis (syaitan) itu bersungguh-sungguh menggoda manusia. Syaitan yang dikurniakan umur yang panjang, selalu memanfaatkan umurnya dengan menggoda Bani Adam selama-lamanya. Ia tidak punya rasa letih, sedangkan manusia mempunyai jiwa yang lemah.

Sekiranya Nabi Adam dan Hawa terperosok oleh godaan syaitan, bagaimana dengan manusia biasa?

Nabi Musa pun hampir sahaja tergoda oleh pujukan syaitan.

Wajar sekiranya jin ataupun manusia bertaubat. Ini kerana Allah memerintahkan jin dan manusia supaya beribadah kepadaNya. Namun, bagaimana sekiranya iblis, makhluk yang sudah dihukum oleh Allah sebagai penghuni neraka di akhirat kelak tiba-tiba menginginkan taubat?

Pada zaman Nabi Musa, iblis mahu berjumpa utusan Allah itu, kemudian berkata, "Wahai Musa, engkau adalah seorang yang sudah diutus oleh Allah dan Dia sudah berkata-kata denganmu secara langsung."

Nabi Musa menjawab, "Memang benar apa yang kamu katakan. Kamu ini siapa dan apa yang kamu mahukan dariku?"

Lalu iblis berkata, "Aku adalah iblis! Wahai Musa, aku meminta tolong engkau katakan kepada Tuhanmu seorang makhlukNya ingin bertaubat kepadaNya."

Nabi Musa pun terdiam. Benar, sekiranya dilihat daripada nada bicara dan ekspresinya, seolah-olah niat iblis memang tulus. Mendengar permintaan iblis yang mahu bertaubat kepada Allah, Nabi Musa berasa gembira. Bukankah sekiranya iblis bertaubat, kehidupan di dunia ini tidak ada lagi buruk sangka dan kemaksiatan serta dosa?

Mempercayai kata-kata iblis itu, akhirnya Nabi Musa berdoa kepada Allah dan menyampaikan apa yang diucapkan oleh iblis. Kemudian Allah pun menurunkan pesanannya kepada Musa, "Wahai Musa, katakan kepadanya sesungguhnya Aku berkenan menerima permohonannya itu dengan syarat dia mesti terlebih dahulu sujud di kubur Adam. Sekiranya dia mahu sujud, maka aku bersedia mengampuni segala dosanya."

Selepas Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah, Musa pun segera memberitahu kepada iblis pesanan yang sudah diperintahkan oleh Allah.

Belum pun selesai Nabi Musa memberitahu segala perintah Allah, tiba-tiba dengan sombong dan bongkak iblis berkata, "Wahai Musa, aku tidak sujud kepada Adam ketika dia hidup di syurga, bagaimana aku hendak sujud kepadanya sesudah dia mati?"

Begitulah sifat sombong dan takbur iblis yang tetap enggan bersujud kepada Adam. Walaupun dia tahu api neraka akan memakannya, tetapi dia tetap tidak mahu beriman kepada Allah. Ini kerana, sekiranya ia sujud kepada Adam, sebenarnya ia sujud kepada Allah.