Kualiti Bukan Kuantiti
Adalah menjadi kebiasaan Harakah Islamiyah akan mempelbagaikan cara dalam usaha meningkatkan mutu saff jama'ah dan memperbanyakkan ahli-ahlinya dengan cara yang dibenarkan oleh Islam. Namun demikian kerja-kerja menghimpun atau memperbanyakkan ahli-ahli ini janganlah sampai ia menghimpunkan apa saja jenis manusia yang ditemui, kerana kualiti (mutu) itu lebih penting dari bilangan. Jama'ah selalunya berusaha berda'wah dengan bersungguh-sungguh mengorbankan tenaga dan waktu untuk mendapat seorang anggota baru dengan harapan anggota baru ini dapat memikul sebahagian dari tanggungjawab dan tugas jama'ah. Tetapi sekiranya diambil anggota secara sembarangan tentulah harakah tidak mampu menanggung beban dari anggota-anggota sedemikian sepanjang umur mereka. Jika ini terjadi rugilah tenaga yang dicurahkan dan sia-sialah usaha.
Seorang manusia adakalanya menjadi satu umat tetapi ada juga kalanya ia menjadi bebanan yang merosakkan orang lain malah tidak berguna sama sekali. Orang seperti ini adalah lebih baik tidak diambil kira. Dalam hal seperti ini banyak pengajaran yang dapat dijadikan i'tibar. Allah menceritakan:
"Dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfa'at kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu telah terasa sempit oleh kamu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai".
(At Taubah: 25)
Sebenarnya bilangan yang banyak bukanlah menjadi perhitungan yang utama tetapi yang utama ialah anggota yang benar-benar mengenal Allah, teguh pendirian dan benar-benar memperjuangkan kebenaran. Bilangan yang banyak ada kalanya menjadi sebab yang membawa kekalahan kerana sebahagian yang ikut serta itu terdiri dari mereka yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Apabila menghadapi saat-saat genting dan getir, pendirian mereka ini akan mudah goncang dan goyah. Dengan sifat demikian mereka ini menyebabkan kelemahan jiwa para anggota dan ketewasan di dalam medan jihad.
Oleh yang demikian membuat penilaian dan pembahagian terhadap anggota-anggota merupakan satu 'amalan yang membawa kebaikan kerana dengan cara itu jama'ah dapat menilai dan mengetahui sejauh mana kemampuan dan kemanusiaan para anggota sebelum sesuatu tugas itu dimulakan. Pembahagian yang dilakukan tidaklah bermakna harakah membiarkan sebahagian anggota yang lain, malah terhadap mereka juga harakah mestilah mengambil perhatian berat dengan cara memberi kesedaran dan tarbiah sehingga mereka juga akan menjadi individu-individu yang setia kepada jama'ah.
Bahagian Kedua
Apakah Ertinya Saya Menggabungkan Diri Dengan Harakah Islamiyyah
Bab 7
Saya Mestilah Memahami Syarat-Syarat Bai'ah dan Keanggotaanya
Apa Ertinya Saya Menganut Islam
Fathi Yakan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan