Muqadimah
Surah At Taubah terdiri daripada 129 ayat. Ianya termasuk dalam kategori surah-surah Madaniyah. Dinamakan sebagai At Taubah kerana perkataan 'at taubah' yang bermaksud pengampunan berulang kali disebut dalam surah ini. Ia juga dinamakan sebagai 'bara'ah' yang bermaksud 'melepaskan diri daripada tanggungjawab' kerana pencabulan perjanjian damai oleh Musyrikin Mekah di antara mereka dengan umat Islam di Madinah.
Surah ini menerangkan pengisytiharan perang dari Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada Musyrikin Mekah yang mana berita pencabulan itu disampaikan oleh Saidina Ali r.a kepada Rasulullah SAW pada musim haji iaitu 10 Zulhijjah. Tempoh 4 bulan diberikan (disebut sebagai bulan Haram berperang) selepas dari itu, jika mereka tidak bertaubat dan menerima Islam maka mereka akan dimusnahkan melainkan mereka yang tidak melanggar perjanjian damai (Perjanjian Hudaibiyyah) dan mereka yang memohon perlindungan.
Refleksi Diri
Surah At Taubah ini merupakan satu-satunya surah yang tidak dimulakan dengan 'basmallah' kerana ianya bernafas perdamaian dan kasih kepada Allah SWT sedangkan surah ini pula merupakan pengisytiharan perang terhadap kaum musyrikin Mekah. Surah ini banyak menerangkan tentang adab-adab ketika berperang, yang mana ia secara tak langsung menonjolkan keindahan Islam itu sendiri. Dalam surah ini juga diterangkan tentang rahsia orang-orang munafiq.
Diceritakan oleh Al Fadhil Ustaz Nik Zawawi bin Nik Salleh, Ahli Majlis Ulama', dalam kuliah berkenaan Adabul Ikhtilaf semasa Ijtima' GAMIS yang lepas, bahawasanya semasa tentera-tentera Islam masuk ke satu negeri di India, penduduk-penduduknya lari kerana desas-desus bahawa mereka akan dimusnahkan. Lalu mereka melarikan diri di sebuah bukit. Selepas meyakini negeri mereka telah dimasuki tentera-tentera Islam, lalu mereka kehairanan kerana tidak melihat sebarang asap hasil dari kemusnahan yang dilakukan oleh tentera-tentera Islam. Kemudian mereka kembali ke negeri mereka dan apa yang menghairankan, mereka disambut oleh tentera-tentera Islam dengan 'salam', penuh kesejahteraan.
Di negeri lain pula, apabila tentera-tentera Islam memasuki ke dalam negeri itu, apa yang dilakukan oleh penduduk negeri itu setelah mengetahui bagaimana peribadi tentera-tentera Islam adalah dengan menyambut mereka dengan kanak-kanak dan anak-anak gadis. Kanak-kanak ini diarahkan untuk melambung-lambung duit-duit emas kepada tentera-tentera Islam. Ironinya tentera-tentera Islam ini tidak mengendahkannya, sebaliknya menundukkan muka mereka. Tidak seperti tentera-tentera musuh yang lain yang berebut-rebut mengutip duit tersebut. Dan apabila tentera-tentera Islam ini tiba di barisan anak-anak gadis, mereka menundukkan pandangan mereka hingga menuju ke pusat bandar.
Adapun kita pada hari ini, ketika peperangan mahupun tidak, seringkali mengambil kesempatan dunia ini dengan rakusnya. Kemudian lebih ironinya lagi, apabila masyarakat Islam itu berpecah-pecah dan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu. Berpecah mengikut ideologi yang berbeza, hasil ketidakpuashatian terhadap sesuatu yang telah wujud. Disebutkan dahulu berkenaan 'perpecahan atau perbezaan pendapat itu adalah satu rahmat kepada umat Muhammad'. Persoalannya, jika perpecahan itu adalah rahmat, adakah persatuan itu suatu laknat?
Janganlah terpedaya wahai sahabatku terhadap hadis palsu itu. Seharusnya gerakan-gerakan Islam yang sedia ada ini perlu meletakkan taat setia kepada kepimpinan Islam yang sedia ada, yang ditubuhkan dahulu. Seandainya berlaku kekurangan terhadap kesatuan itu, maka kukuhkannya bukan membentuk persatuan baru. Jika perpecahan itu terus berlaku tanpa berasa satu keinginan untuk bersatu, maka ke mana hendak diletakkan taat setia dan 'baiah' kepada pimpinan Islam itu? Adakah kepada musyrikin atau munafiq yang menguasai kita sekarang?
...........
Hari ini selepas bersahur, adikku Abdul Hakim Fiqri duduk dihadapan TV memasang mp3 bacaan ayat Al Quran agar didengari oleh kami. Sedang diri ini membantu ayahnya tentang perincian-perincian yang ada di 'group facebook' Generasi Hj A Rahim & Hjh Yang, diri ini terkesima akan satu ayat yang kedengaran dari 'kotak bercahaya' itu,
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
yang bermaksud,
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
[At Taubah: 24]
Muhasabah kepada diri ini.. Ya Allah, bimbinglah jalan hidupku dan adikku serta keluargaku dan sahabat-sahabatku.
Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz
1 Ogos 2012
13 Ramadhan 1433
Presint 11, W. P. Putrajaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan