Jumaat, 24 Ogos 2012

Dogma...?


"Dogma ialah kepercayaan atau sistem kepercayaan (agama,dll) yang dianggap benar dan seharusnya dapat diterima oleh orang ramai tanpa sebarang pertikaian."

Bismillah walhamdulillah..

Hari ini terpanggil nak tulis sesuatu dekat blog ini. Mungkin lebih kepada 'share'. Sebentar tadi baru je baca satu dokumen bertajuk 
Demokrasi, Sekular dan Islam (oleh Asyraf Muiz, mahasiswa Universiti Islam Madinah, 2012). Dapat ini pun daripada seorang adik dari matrikulasi, alhamdulillah, dia bakal ke UniSZA, Terengganu.

.....

Beberapa bulan lalu, sejak kewujudan Ulama UMNO atau dipanggil ILMU, agak selalu juga berada dalam perbincangan ilmiah mereka. Hingga satu ketika apabila ada seorang adik, juga dari matrikulasi yang agak pro kepada UFB ini dengan yakinnya mengeluarkan 'statement' yang padaku kurang matang untuk dia memahaminya dengan baik. Pujian boleh diberikan dari sudut pengetahuan dan semangatnya. Tetapi dari sudut penghayatan terhadap perkara yang diyakini itu, mungkin padaku boleh sama-sama diperbaiki lagi.

Aku kurang terkesan dengan hanya satu karangan teks sahaja. Hatta aku, mengaku dan akui, masa pengajianku di alam kampus lebih untuk menghayati karangan-karangan yang lebih kepada perbincangan agama lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan pemerintahan, pemikiran dan kuasa ekonomi. Leka dan aku berkhayal hingga aku lupa akan kursus yang aku sedang ambil di alam kampus ini. Nafsu datang dengan berbagai jenis. Sebolehnya aku mahu tinggal lama di kampus ini. Memang sesuai dengan namanya 'Perbukitan Ilmu', ianya kaya dengan pelbagai ilmu hingga aku bersifat tamak dan mengambil mudah akan kursus asalku, Sains Nuklear.

Disini, aku cuma 'copy paste' sebahagian sahaja ayat-ayat dari dokumen tadi. Aku belum mampu mengeluarkan ayat sendiri. Sila PM saya nanti andai anda bercanggah pendapat dengan petikan dokumen itu. Saya suka perbincangan. Tetapi jangan lari (ikut pengalaman, ada seorang ini, bila dia dah tak mampu nak berikan saya hujah-hujah lain, dia 'removed' saya dari 'friendlist' dan ada yang 'deactivate'. Agak kecewa dengan insan-insan begini. Mereka mengatakan mereka adalah benar, andai kata alasannya untuk memelihara akidah dan pegangan mereka, sepatutnya mereka berdepan juga untuk tegakkan bahawa mereka itulah yang benar. Saya puji insan yang cekal hatinya seperti beberapa orang insan yang pernah saya tanya. Kita sama-sama nak cari kebenarannya. Jadi kenapa perlu mengelakkan diri. Share dengan saya untuk kita sama-sama menilai.).
Sanggahan kepada dogma wahabi Arab Saudi.Sanggahan 1.Imam alNawawi telah mengatakan
وَأَمَّا الْخُرُوج عَلَيْهِمْ وَقِتَالهمْ فَحَرَام بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ، وَإِنْ كَانُوا فَسَقَة ظَالِمِينَ“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Syarh Sahih Muslim)Wahabi menukilkan bahawa haram secara mutlak menjatuhkan pemimpin. Sedangkan ijma' menyebut قِتَال(menjatuhkan dengan senjata) dan bukannya menjatuhkan secara aman melalui pilihanraya!
 Sanggahan 2.تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْTerjemahan: Dengar dan taatlah pada pemerintah walaupun punggung(iaitu belakang)mu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan taatilah" (sebahagian hadith yang panjang, dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, no. 1847)Status Hadith:Ketahuilah bahawa ia adalah hadith Dha'if. Didhaifkan oleh Imam al-Daraquthni, Imam Muslim sendiri, bahkan juga didhaifkan oleh ulama hadith salafi Syaikh Muqbil Hadi al-Wadi'i.Sanadnya putus dan ianya adalah tambahan lafaz (ziyadah) yang Munkar iaitu Khata' (silap).Menurut Imam al-Daraqutni sanad hadith ini Mursal (iaitu putus) kerana Abu Salam tidak pernah sama sekali mendengar dari Huzaifah.Kata Imam al-Daraquthni dalam kitabnya al-Ilzamat wa al-Tatabbu' (hal. 181):وهذا عندي مرسل، أبو سلام لم يسمع من حذيفة ولا من نظرائه الذين نزلوا العراق لأن حذيفة توفي بعد قتل عثمان (رضي الله عنه)
Terjemahan: Hadith ini disisiku adalah Mursal (iaitu putus), Abu Salam tidak pernah sama sekali mendengar dari Huzaifah dan tidak pula dari yang seangkatan dengannya yang menetap di Iraq kerana Huzaifah wafat beberapa hari selepas pembunuhan 'Uthmaan (ra)".Perlu diketahui bahawa istilah Mursal yang digunakan Imam al-Daraquthni disini bukanlah bermaksud Mursal seperti yang difahami ramai penuntut ilmu hadith masa kini yang memahami definisi Mursal dari buku-buku hadith moden karya ulama Khalaf al-Mutaakhkhirin. Ia bukanlah bermaksud isnad yang terputus pada tabi'in tetapi ia bermaksud isnad itu Munqathi (putus) tanpa mengira dimana ia putus.Para ulama hadith Salaf al-Mutaqaddimin biasa menggunakan istilah Mursal untuk apa-apa saja isnad yang putus, baik putus itu pada tabii'n atau tabi' al-tabiin atau dibawahnya lagi. Saya katakan: hadith ini adalah salah satu daripadanya, dan putusnya isnad adalah Dha'if kerana telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih.Bahkan selain putusnya isnad, lafaz ini juga adalah Munkar, ia adalah ziyadah (tambahan lafaz) yang menyalahi hadith lain yang disepakati Sahih, dengan kata lain lafaz tambahan ini adalah Khata' (silap).
Kata Syaikh al-Muhaddith al-Yaman, Muqbil Hadi al-Wadi'i dalam tahqiqnya atas kitab al-Ilzamat wa al-Tatabbu' (hal. 181):وفي حديث حذيفة هذا زيادة ليست في حديث حذيفة المتفق عليه وهي قوله (وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك)! فهذه الزيادة ضعيفة لأنها من هذه الطريق المنقطعة Terjemahan: Dan pada hadith Huzaifah ini terdapat ziyadah (tambahan lafaz) yang tidak terdapat pada hadith Huzaifah yang muttafaq 'alaih (disepakati al-Bukhari dan Muslim) iaitu kata-kata "walaupun punggung(iaitu belakang) mu dipukul dan hartamu dirampas"! Maka ini adalah ziyadah (tambahan lafaz) yang lemah kerana ia dari jalan yang terputus ini".
Hadith mahfuz (terpelihara) yang muttafaq 'alaih (disepakati al-Bukhari dan Muslim) yang dimaksudkan ialah satu hadith panjang yang lafaznya menyebut:...فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَTerjemahan: Maka tinggalkanlah semua puak-puak tersebut yang ada walaupun kamu terpaksa menggigit akar kayu sehingga mati dalam keadaan itu" (Dikeluarkan oleh al-Bukhari (no. 3338) dan Muslim (no. 3434)).Perlu diketahui metod Imam Muslim dalam menyusun kitab Sahihnya, iaitu pada awal setiap bab beliau akan masukkan himpunan hadith-hadith yang mutunya sangat tinggi dan hadith-hadith ini dikenali sebagai hadith-hadith usul dalam sesuatu bab, kemudian beliau akan mengiringi pula dengan hadith-hadith yang isinya hampir sama dengan hadith-hadith usul tadi dengan isnad yang berbeza, hadith-hadith yang mengiringi hadith-hadith usul ini dikenali sebagai mutabaat dan syawahid.
Jaminan Sahih hanyalah untuk hadith-hadith usul, manakala hadith-hadith yang dijadikan mutabaat dan syawahid ini statusnya pelbagai, sebahagiannya Sahih dan sebahagiannya Dha'if. Dan hadith yang sedang kita bincangkan ini bukanlah termasuk hadith-hadith usul dalam Sahih Muslim, namun Imam Muslim hanya memasukkanya sebagai mutabaat dan syawahid sahaja.
Saya katakan: hadith dengan lafaz " تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ - Dengar dan taatlah pada pemerintah walaupun punggung(iaitu belakang) mu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan taatilah" adalah salah satu contoh dari segelintir hadith-hadith mutabaat dan syawahid yang Dha'if terkandung dalam Sahih Muslim dan ia telahpun diDha'ifkan oleh Imam Muslim sendiri. Mereka yang membaca Sahih Muslim dengan kaca mata ahli hadith sahaja yang akan dapat mengecam bahawa hadith ini telah diDha'ifkan oleh Imam Muslim dengan isyarat dalam kitab Sahihnya sendiri.
Imam Muslim memasukkan hadith ini bersama-sama hadith semakna yang tiada ziyadah (tambahan lafaz) dalam satu bab, dan hadith tanpa ziyadah disebut dahulu sebelum hadith dengan ziyadah, tujuan beliau lakukan sedemikian rupa ialah sebagai isyarat untuk menjelaskan bahawa ziyadah itu lemah, dan ini adalah antara metod Imam Muslim menDhaifkan sesebuah hadith dalam kitab Sahihnya, demikian juga para huffaz hadith lain semisal al-Bukhari, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban.

Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz
W. P. Putrajaya
24 Ogos 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan