by Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz on Thursday, 29 July 2010 at 12:46
Dalam kitab Al Muwafaqat karangan Imam As Syatibi dinyatakan bahawa maslahah dharuriah perlu didahului bertujuan untuk menjaga agama dan perihal dunia. Sekiranya tidak dilaksanakan maka akan timbul pelbagai kerosakan dan kematian. Dalam erti kata lain suatu maslahah yang mesti dilaksanakan kerana terpaksa oleh kumpulan manusia ramai atau individu tertentu untuk mengelakkan dari kemusnahan hidup mereka.
Ulama' telah meletakkan garis panduan dalam mengambil maslahah ini untuk dilaksana dalam menetapkan aulawiyyat yang ditetapkan oleh syara'.
Menjaga agama
Agama merupakan perkara utama yang perlu dijaga dalam menjaga kefardhuan dalam agama untuk dilaksanakan oleh manusia atau diistilahkan sebagai حفظ الايجابsementara dari sudutحفظ العدم-دفع الخطر Islam telah meletakkan garis panduan tertentu untuk menjaga agama dari segala kerosakan umpamanya disyariatkan jihad untuk mempertahankan agama, menetapkan hukuman bunuh kepeda mereka yang murtad dan sebagainya. Dalam kedua-dua perkara ini, Islam mendahulukan kaedah pengawasan dari perkara lain untuk mengekalkan maqasid syara'.
Menjaga diri
Islam menetapkan penjagaan terhadap Bani Insan untuk terus melaksanakan tuntutan agama. Agama tidak dapat diteruskan dengan sempurna apabila keadaan diri manusia lemah. Islam membenarkan segala perkara yang dapat memelihara kehidupan mereka tanpa berlebihan begitu juga dalam perkara yang merosakkan keadaan mereka. Islam juga meletakkan hukuman seumpama qisas, diat dan sebagainya.
Memelihara akal
Islam mewajibkan manusia supaya menuntut ilmu untuk menjaga gerak kerja akal dari terpesong dan melarang keras dari perkara yang menyebabkan kerosakan umpama meminum arak, merokok dan yang berkaitan dengannya.
Menjaga keturunan
Menjaga keturunan atau dalam erti kata lain mempertahankan maruah dari dicemari merupakan maslahah yang perlu dijaga dalam memelihara maksud syara'. Sebab itulah Islam menekankan proses perkahwinan supaya tidak lari dari dasar-dasar syara' demi mengekalkan keturunan yang baik. Perkara-perkara yang menyebabkan maruah tercemar seumpama zina diharam dan disediakan hukuman yang sewajarnya.
Menjaga harta
Islam amat berhati-hati dalam etika perniagaan khususnya dalam proses pengaliran harta kepada pihak-pihak yang tertentu supaya tidak terlibat dengan rasuah, tipu dan sebagainya dalam perkara jual beli, sewa menyewa, wadiah dan lainnya. Untuk mengawasi dari berlaku perkara-perkara tersebut Islam meletakkan hukuman tertentu dalam kes-kes kecurian, rompakan dan perkara yang merosakkan harta benda orang lain demi menjaga hubungan sesama manusia.
Maqasid Syariah>>Dharuriyyah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan