by Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz on Monday, 26 July 2010 at 12:52
Adapun sudut kesufian Imam Hasan Al-Banna, maka pengalaman kecintaan Imam Hasan Al-Banna terhadap kesufian dan golongan sufi yang sangat mendalam turut beliau kongsikan dalam buku Muzakkirat Ad-Da'wah wa Ad-Da'iyyah. Antaranya, beliau berkata:
وظللت معلق القلب بالشيخ حسنين الحصافى رحمه الله حتى التحقت بمدرسة المعلمين الأولية بدمنهور مدفن الشيخ وضريحه وقواعد مسجده الذى لم يكن تم حينذاك , و تم بعد ذلك , و كنت مواظبا على الحضرة فى مسجد التوبة فى كل ليلة , وسألت عن مقدم الإخوان فعرفت أنه الرجل الصالح الشيخ بسيونى العبد التاجر , فرجوته أن يأذن لى بأخذ العهد عليه ففعل ووعدنى بأنه سيقدمنى للسيد عبد الوهاب عند حضوره , ولم اكن إلى هذا الوقت قد بايعت احدا فى الطريق بيعة رسمية وإنما كنت محبا وفق إصلاحهم
Maksudnya:
"Saya masih terikat hati (kasih) kepada Sheikh Hasanain Al-Husofi (mursyid kepada ayahndanya) sehinggalah saya masuk sekolah Al-Mu'allimin Al-Awwaliyyah di Damanhur, di mana tempat tersebut dikebumikan Sheikh dan kuburnya, begitu juga tiang-tiang asas masjid di sekitarnya yang masih belum siap ketika itu, namun sudah siap setelah itu. Saya sentiasa mengikut Hadrah (majlis zikir) di masjid At-Taubah pada setiap malam. Lalu saya bertanya tentang muqoddam (wakil mursyid) Al-Ikhwan (murid-murid tarikat tersebut), maka saya kenal, beliau seorang yang soleh, iaitulah Sheikh Besyuni seorang hamba soleh lagi peniaga.
"Lalu saya mengharapkan agar beliau mengizinkan saya untuk mengambil bai'ah daripadanya (tarbiah sufiyyah) lalu beliau turuti lalu berjanji untuk membawaku kepada As-Sayyid Abdul Wahab (Al-Husofi, iaitu anaknda Sheikh Hasanain Al-Husofi) jika sekiranya beliau hadir. Saya tidak pernah sampai pada waktu ini (waktu ambil bai'ah tersebut), mengambil bai'ah daripada mana-mana murobbi tarikat dengan bai'ah rasmi (sebelum itu), walaupun saya mencintai kebaikan mereka."
Lalu beliau berkata lagi:
وحضر السيد عبد الوهاب - نفع الله به - إلى دمنهور و أخبرنى الإخوان بذلك فكنت شديد الفرح لهذا النبأ , وذهبت إلى الوالد الشيخ بسيونى و رجوته أن يقدمنى للشيخ ففعل . وكان ذلك عقب صلاة العصر من يوم4 رمضان سنة 1342 هـ , وإذا لم تخنى الذاكرة . فقد كان يوافق الأحد حيث تلقيت الحصافية الشاذلية عنده وأذننى بأورادها ووظائفها
Maksudnya:
"Ketika As-Sayyid Abdul Wahab �semoga Allah memberi manfaat dengannya- hadir ke Damanhur, lalu teman-teman memberitahuku tentangnya, maka saya teramat gembira dengan berita tersebut. Maka saya pun pergi kepada ayahnda (gelaran bagi murobbinya) Sheikh Besyuni dan saya harap agar beliau membawaku berjumpa Sheikh (Al-Husofi) lalu beliau melakukannya. Pertemuan itu berlaku setelah solat Asar pada 4 Ramadhan tahun 1342 Hijrah, jika tidak salah dalam ingatan. Hari itu bertepatan dengan hari Ahad di mana saya mula mengambil At-Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah daripadanya lalu beliau memberi izin untuk membaca wirid dan wazho'ifnya (yang mana wazho'if ini dikenali sebagai Ma'thurat oleh Hasan Al-Banna ketika menubuhkan Ikhwan).
[Muzakkirat Ad-Da'wah wa Ad-Da'iyyah: 25]
Kerinduan hati dan kecintaan seseorang kepada kelompok sufi khususnya yang berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah adalah antara tanda seseorang itu mendapat bantuan Allah s.w.t. untuk melalui proses tarbiah sufi yang mempunyai dasar dan manhaj tarbiah yang bersambung silsilah tarbiah mereka sehingga kepada Rasulullah -shollaLlahu `alaihi wasallam-.
Hal ini sangat jelas sebagaimana menurut Imam Hasan Al-Banna r.a., beliau mencari seorang mursyid murobbi sufi yang benar-benar berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Beliau sangat tertarik dengan Sheikh Murobbi sufi bernama Sheikh Al-Hasanain Al-Husofi. Namun, beliau tidak sempat mengambil tarbiah daripada sheikh tersebut kerana sheikh tersebut sudah meninggal dunia. Namun, beliau mengambil tarbiah sufi daripada anaknda Sheikh Al-Hasanain bernama Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi r.a. yang mengikut jejak langkah ayahndanya yang sangat berpegang teguh dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dalam manhaj tarbiah.
Inilah isyarat Allah s.w.t. dalam diri Imam Hasan Al-Banna. Sebagaimana mujaddid-mujaddid terdahulu yang bermula dengan tarbiah sufi, seperti Imam Al-Ghazali r.a., Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a. dan sebagainya, Imam Hasan Al-Banna juga mendapat kemanisan ditarbiah oleh murobbi sufi yang mempunyai rantai izin tarbiah yang jelas bersambung kepada Rasulullah -shollaLlahu `alaihi wasallam-. Ini membolehkan Imam Hasan Al-Banna mendapat tarbiah daripada sumber tarbiah utama dalam masyarakat Islam sejak zaman salaf lagi.
Imam Hasan Al-Banna mengakui keagungan manhaj tarbiah sufiyyah yang tidak akan dapat diganti oleh mana-mana manhaj lain sebagaimana dalam perkataan beliau dalam buku yang sama:
"Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi)."
Hal ini menunjukkan betapa Imam Hasan Al-Banna, biarpun sudah menubuhkan suatu jemaah yang banyak berperanan dalam masyarakat, namun masih mengakui bidang tarbiah khusus adalah bidang golongan sufi (muhaqqiqin), malah merekalah ahli tarbiah yang mana manhaj tarbiah mereka tidak dapat dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan golongan sufi.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan aspek kerohanian ini ditarbiah oleh murobbi yang sempurna khususnya dari kalangan golongan sufi muhaqqiqin. Dalam ungkapan lain, beliau berkata:
"Tidak syak lagi bahawasanya dengan berpegang kepada kaedah-kaedah tasawwuf dalam bidang tarbiah dan suluk membawa kesan yang sangat kuat dalam jiwa dan hati seseorang. Bahkan, kata-kata para sufi dalam bab tarbiah ini mempunyai kesan yang sangat mendalam, yang tidak akan didapati daripada kata-kata selain daripada golongan sufi�" [ibid]
Imam Hasan Al-Banna juga memberi ruang luas kepada pengikutnya untuk mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi yang kamil. Malah, Imam Hasan Al-Banna juga mempunyai idea yang sangat jelas dalam dakwah iaitu, tidak terlalu pentingkan nama jamaah. Baginya, siapa sahaja yang sama fikrah dengan Ikhwan adalah dari kalangan Al-Ikhwanwalaupun bukan dari kalangan ahli Al-Ikhwan. Malah, siapa sahaja yang tidak mempunyai fikrah sebenar ikhwan dianggap bukan daripada Al-Ikhwan walaupun berada dalam jemaah tersebut.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna mempunyai ramai rakan karib khususnya dari kalangan para ulama'. Beliau sendiri tidak menjauhi ulama' dan merasakan diri boleh berdakwah tanpa bantuan mereka, namun beliau sentiasa mengharapkan kerjasama khusus daripada golongan sufi dan ulama' Al-Azhar (khususnya di Mesir), agar dakwah mereka terus berkembang.
Antara ulama' tersebut yang beliau dampingi (khususnya sejak dari awal usia) beliau adalah seperti Sheikh Yusuf Ad-Dijiwi, Sheikh Muhammad Hafiz At-Tijani, Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi, Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan sebagainya. Ini menyebabkan pada awal dakwah Al-Ikhwan, ramai ulama' Al-Azhar membantu dalam menyebarkan risalah dakwah tersebut. Ini disebabkan eratnya hubungan Imam Hasan Al-Banna dengan ulama' tradisional di Mesir (kalau di Malaysia, ulama'-ulama' pondok-lah).
Biarpun Imam Hasan Al-Banna membentuk jemaah dakwah yang baru, namun beliau tetap beriltizam dengan zikir-zikir yang telah beliau ambil daripada tarikat husofiyyah. Sheikhu Sheikhna Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi berkata dalam menceritakan tentang Imam Hasan Al-Banna:
"وقد حدثني كبار رجاله و خواص أصحابه أنه بقى متمسكا بهذة الأأشغال و الأوراد إلى آخر عهده
Maksudnya: "Pemimpin besar dan teman-teman rapatnya (Imam Hasan Al-Banna) memberitahuku bahawasanya beliau (Imam Hasan) sentiasa berpegang dengan wirid-wirid dan amalannya (Tarikat Husofiyyah) sehingga akhir usianya [At-Tafsir As-Siyasi lil Islam: 130]
Malah, jemaah ikhwan juga dikaitkan dengan sufi sebagaimana diakui oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri dengan slogannya antaranya "hakikat sufiyyah" dan dijadikan antara dua intipati utama jemaah Ikhwan iaitu "Sufi `Askari".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan