by Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz on Thursday, 22 April 2010 at 12:57
SEGALA PUJI BAGI ALLAH, TUHAN SELURUH ALAM.
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW
BISMILLAHHIRRAHMANNIRRAHIM...
Islam bukan sekadar agama yang berkisar isu ibadat, nikah kahwin, halal haram, syurga neraka, azab kubur dan sebagainya sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang Islam.
Timbulnya kesilapan dalam memahami ajaran Islam berpunca daripada fahaman-fahaman yang ditanamkan oleh musuh-musuh Islam yang cuba meleburkan ajaran Islam yang bersumberkan Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Pelbagai cara dan tipu helah demi menghapuskan Islam di atas muka bumi ini. Cuma persoalannya adakah kita sedar dan memahami akan cara dan tipu helah yang ditanam dalam diri umat Islam kini?
Sejak kejatuhan umat Islam pada abad ke-13 (yang mana pada pandangan saya selepas kejayaan Sultan Muhammad Al Fateh menakluk kota Constantinople yang mungkin juga menyebabkan ramai umat Islam lalai dan berbangga-banga dengan kejayaan itu) hinggalah abad ke-20, umat Islam berada dalam kondisi jumud dan statik. Apabila disebut 'Islam', mereka sekadar membayangkan bahawa Islam ini terhad kepada persoalan ibadat semata-mata. Seolah-olah urusan hidup di dunia yang melibatkan sektor ekonomi, politik, kemasyarakatan, pemerintahan dan kenegaraan tiada hubung kait langsung dengan agama Islam.
Lantaran itu, negara-negara Islam telah dijajah berkurun-kurun lamanya dan rakyat di negara tersebut terbiar dalam keadaan jahil dan miskin. Segala sumber kekayaan di negara umat Islam dijarah dan dipunggah ke negara barat. Keadaan ini berlarutan sehingga lebih dari tujuh abad panjangnya sebelum kesedaran di kalangan para intelektual dan mujahid Islam muncul pada akhir kurun ke-19 dan pada awal kurun ke-20. Tokoh-tokoh seperti Solehuddin al-Ayubi, Jamaluddin al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan yang lainnya mempelopori gerakan kebangkitan Islam.
Di zaman yang penuh cabaran ini, khalayak sibuk memperincikan perihal tamadun (hadharah) dan sering memutar belitkan sebutannya dengan mengatakan 'Islam Tamadun'. Ia seolah-olah menggambarkan tamadun yang melahirkan Islam. Hakikatnya penggunaan bahasa dan maksud tersebut adalah salah. TAMADUN tidak melahirkan ISLAM sebaliknya ISLAM yang melahirkan TAMADUN.
Usah dilupakan bahawa manusia di dunia diuji dengan 2 perkara:
1. Mengingati Allah dan mengikut petunjuk-Nya
2. Terlupa kepada Allah akan sesat hidupnya.
(Sesungguhnya Allah mengingati setiap hamba-Nya setiap waktu tetapi PERSOALANNYA adakah kita mengingati Allah setiap detik dalam hidup kita? Tiap kali bangkit dari tidur yang lena, adakah ungkapan pertama kita adalah 'Ya Allah'?)
Sabda Rasulullah SAW:
"Islam itu tinggi, tiada yang boleh mengatasi ketinggiannya."
~Kitab Sunan ad-Daruqutni, hadis no. 3663
Sekiranya tiada penemuan dan penyelidikan umat Islam di abad silam nescaya seluruh manusia sama ada di barat mahupun di timur lebih jauh ketinggalan berabad-abad di belakang dan barangkali mereka tidak pernah mengenal apa itu tamadun.
Perkataan tamadun itu diambil daripada bahasa Arab berdasarkan kata kerja Tamaddana. Perkataan sinonimnya adalah Hadharah dan lawannya Badawah yang bermaksud tidak bertamadun, jahiliah.
Kedatangan Islam itu sendiri yang melahirkan tamadun. Islam mengharamkan arak, judi, riba, zina, rasuah, mendedah aurat, hiburan serta apa sahaja yang melampaui batas Islam dan lain-lain yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ini termasuk isme-isme sekular yang dibawa oleh segelintir manusia. Pemikiran mereka begitu mundur sehingga berani berhujah bahawa kehidupan bertamadun hanyalah terbatas kepada politik dan bermasyarakat, tanpa segan silu menafikan peranan nilai-nilai agama (Islam) dalam kehidupan.
Untuk melahirkan individu yang sedar terhadap kehadiran Allah SWT, setiap saat dalam hidup bukanlah kerja yang mudah. Ia bukan kerja main-main. Gesaan dasar ayat Al-Quran terukir di dalam doa Iftitah yang sering kita ulangi dalam solat berbunyi:
'Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari golongan orang Islam'
Semakin tinggi keimanan umat Islam di atas kesedaran ini, maka semakin tinggilah pencapaian tamadun. Pencapaian tamadun tidak hanya mengfokuskan aspek pencapaian material semata-mata. Ini kerana tamadun harus diukur dari 2 unsur iaitu rohani yang merupakan pendokong tamadun dan keagaman fizikal kemajuan yang digapai.
Semoga kesedaran ini akan membangkitkan kekuatan dalaman kita semua demi sebuah kebangkitan semula yang sentiasa kita nantikan. Wallahualam..
~Hadaman ilmu daripada buku 'Keagungan Tamadun Islam: Sejarah Yang Digelapkan'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan