UCAPAN DASAR
YANG DIPERTUA PMFST SESI 2012-2013
Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.
Yang Berbahagia
Prof. Dr. Sahrim Haji Ahmad
Dekan, Fakulti Sains dan Teknologi
Yang Berbahagia
Prof. Dr. Shahidan Radiman
Timbalan Dekan (Prasiswazah dan Alumni) FST
Yang Berbahagia
Prof. Dr. Mohd Salmi Noorani
Timbalan Dekan, (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) FST
Yang Berbahagia
Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar
Timb. Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FST
Yang Berbahagia
Pengerusi-Pengerusi Pusat
Ketua-Ketua Pusat Kecemerlangan
Yang Berusaha,
En. Mohd Walid Osman
Ketua Penolong Pendaftar Kanan
Yang Berusaha
En. Zameri Ramli
Penolong Pendaftar Kanan
Barisan Kepimpinan Persatuan Mahasiswa FST Sesi 2011 / 2012
Barisan Kepimpinan Persatuan Mahasiswa FST Sesi 2012 / 2013
Dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian.
Berfirman Allah SWT dalam kitabnya yang Agung,
“(1) Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (4) Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As Saff: 1-4)
Alhamdulilah, marilah bersama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dan marilah kita berselawat dan mengutuskan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin. Atas keredhaan dan keizinan-Nya, maka pada hari yang bersejarah ini kita semua dapat berhimpun dalam satu majlis yang amat bermakna iaitu Majlis Penyampaian Watikah dan Ucapan Dasar Yang DiPertua, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Sesi 2012-2013 yang julung kali diadakan.
Persatuan Mahasiswa Fakulti yang ditubuhkan di setiap fakulti merupakan salah satu platform untuk mengembang dan menggilap potensi kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara kelak. PMFST juga merupakan pengantara pelajar dengan pihak pentadbiran fakulti dan universiti dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul di kampus khususnya di Fakulti Sains dan Teknologi.
Perhimpunan kali ini lebih bererti kerana barisan saf kepimpinan PMFST yang baru dilantik bagi menggantikan saf kepimpinan yang lama. Terima kasih diucapkan kepada barisan kepimpinan yang lama, tahniah dan takziah kepada barisan kepimpinan yang baru.
Keilmuan, Kebajikan, Kesatuan
Sidang hadirin sekalian,
Saban tahun, tema atau motto ini diulang cetak oleh barisan kepimpinan PMFST pada sesi yang lepas bagi melayari setahun lautan kepimpinan. Bersesuaian, bertepatan dan masih lagi relevan dengan kewujudan PMFST sebagai persatuan induk mahasiswa di Fakulti Sains dan Teknologi, maka tema atau motto yang sama ini diguna pakai pada sesi kepimpinan kali ini. Saya yakin, dengan tema ini, PMFST kelihatan gagah dari sudut luaran dan dalamannya. Gagah luaran biasanya merujuk kepada bentuk atau 'form' sementara gagah dalaman merujuk kepada inti atau 'substance'. Seandainya dapat digandingkan kedua-dua sumber kekuatan ini, Insha Allah, PMFST akan menjadi satu persatuan yang terbilang.
Bentuk atau 'form' adalah mudah diusahakan. Namun, inti atau 'substance' pula, sukar dijelmakan. Penjanaan 'substance' memerlukan asas-asas ilmu, ketrampilan, kesungguhan, keikhlasan dan kejujuran. Untuk memacu PMST ke arah menjadi sebuah badan yang proaktif, maka tidak seharusnya PMFST menjadi persatuan yang berideologi semata-mata. PMFST mesti menawarkan program-program yang ‘empirical’ yang berkait langsung dengan kehidupan sebagai warga sainstifik. Mesti ‘project-oriented’, mesti ‘knowledge-based’, mesti menjuarai proses ‘re-engineering’ mahasiswa FST dan akhirnya berupaya melakukan transformasi sosial membentuk morfologi warga sainstifik. Yakni warga sainstifik yang kukuh paduan antara iman kepada Allah SWT dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal [1]. Oleh yang demikian, barisan kepimpinan kali ini telah menetapkan visi PMFST sesi kali ini adalah ‘PMFST sebagai badan pimpinan yang proaktif ke arah merealisasikan Fakulti Sains dan Teknologi sebagai fakulti yang terunggul di Malaysia[2] seiring dengan Falsafah UKM.’
Misi PMFST
Falsafah Pendidikan Negara menyebut bahawasanya “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani (JERI) berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.[3]” Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sebagai sebuah ‘front’ mahasiswa khusus kepada para mahasiswa/i FST, PMFST haruslah mempunyai pengaruhnya tersendiri dalam menjadi peneraju ke arah merealisasikan cita-cita ini. Oleh yang demikian, barisan kepimpinan kali ini telah meletakkan beberapa misi yang tersendiri iaitu:
1. Melahirkan mahasiswa yang seimbang dalam aspek intelektual dan sahsiah; dan,
2. Meluaskan pengaruh PMFST dalam kalangan mahasiswa FST
Strategi dan Pelan Tindakan
Strategi dan pelan tindakan yang realistik serta mampu menangani tuntutan-cabaran semasa adalah penting bagi kelangsungan sesuatu organisasi. Jika penegasan Visi dan Misi menjelaskan hala-tuju dan matlamat PMFST, strategi PMFST pula menjelaskan bagaimana kita akan sampai ke destinasi itu yakni merealisasikan visi dan misi tersebut. Kita mahukan PMFST supaya menjadi sebuah organisasi yang usuliy (fundamentalis) dari segi prinsip, mu’atsir (kontemporari) dari segi perlaksanaan dan istiqbaliy (futuristik) dari segi persiapan masa depan. Antara strategi dan pelan tindakan yang telah dirangka adalah seperti berikut:
1. Membudayakan ilmu sains dan teknologi berlandaskan kepada konsep ketuhanan
2. Memperkasakan PMFST sebagai penghubung diantara mahasiswa FST dengan pihak Pentadbiran FST
3. PMFST sebagai badan kebajikan pelajar
4. Memantapkan hubungan PMFST dengan rexco (rakan exco dan kelab-kelab akademik fakulti
1. Membudayakan ilmu sains dan teknologi berlandaskan kepada konsep ketuhanan
Menurut Islam, semua aktiviti membangunkan alam yang dilakukan oleh orang Islam sewajarnya berlandaskan kepada lima asas iaitu tawheed uluhiyyah, tawheed rubbubiyah, khilafah, tazkiah an nafs dan al falah.[4] Justeru ia merupakan suatu ibadah kepada muslim tersebut. Sebagai sebahagian daripada komuniti sainstifik, PMFST akan membudayakan ilmu sains dan teknologi berlandaskan kepada konsep ketuhanan melalui penganjuran forum-forum, Diskusi Rohani dan sebagainya.
Barisan kepimpinan PMFST juga berhasrat agar dapat meneruskan projek Fiesta Sains dan Teknologi dan menjadikannya sebagai satu projek tahunan dan ditakwimkan dalam kalender Fakulti Sains dan Teknologi. Melalui penganjuran Fiesta Sains dan Teknologi, mahasiswa FST akan dapat didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan berpeluang untuk memperoleh maklumat kerjaya sebelum menamatkan pengajian melalui kerjsama dengan institusi penyelidikan dan syarikat-syarikat swasta.
2. Memperkasakan PMFST sebagai penghubung diantara mahasiswa FST dengan pihak Pentadbiran FST
Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Presiden Indonesia) pernah mengatakan, “Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin”. Menurutnya lagi, “pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat.” Hal ini memberi peringatan yang jelas bahawa penubuhan PMFST bertujuan untuk membantu pelajar dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi khususnya di Fakulti Sains dan Teknologi ini. Sehubungan itu, pada sesi ini PMFST akan berusaha memperkasakan ‘bonding’ dengan mahasiswa FST dan menjadi perantara mereka dengan pihak Pentadbiran FST dan begitu juga sebaliknya.
3. PMFST sebagai badan kebajikan pelajar
Dato’ Onn Jaafar pernah menyebut, “Apabila seseorang itu jatuh, janganlah ditindih lagi. Sepatutnya diberi pertolongan. Ini akan menunjukkan bahawa seseorang itu akan ingat atas kesusahan orang lain”. Masalah yang sering dilaporkan oleh mahasiswa adalah mengenai kemudahan dewan dan bilik kuliah yang tidak kondusif, surau dan tandas yang tidak selesa dan sebagainya. Permasalahan ini telah berlarutan bertahun-tahun lamanya dan pada tahun ini, PMFST bernekad untuk terus membawa suara mahasiswa FST ini ke pihak yang terbabit dan memastikan terus di‘update’ mekanisme perlaksanaan penyelesaian masalah tersebut.
4. Memantapkan hubungan PMFST dengan rexco (rakan exco) dan kelab-kelab akademik fakulti
Berdasarkan rekod daripada Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel), FST menjadi rumah kepada lebih 20 buah kelab akademik. Namun begitu, hubungan diantara kelab-kelab akademik dengan PMFST dan pihak Pentadbiran FST tidak sebaik seperti di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.
Melihat kepada keberjayaan Fiesta Sains dan Teknologi lepas, barisan kepimpinan PMFST sesi ini berpendapat bahawa Fiesta Sains dan Teknologi akan lebih berjaya lagi andai kata ia melibatkan bersama dengan kelab-kelab akademik yang lain. Justeru, pada sesi kepimpinan kali ini, kami akan berusaha untuk menaungi kelab-kelab akademik di FST ini. Seterusnya melalui kerjasama yang bakal diberikan, PMFST sebagai persatuan induk di FST bersama-sama kelab-kelab akademik FST bakal menjadi satu ketumbukan yang mantap dalam menyokong Visi dan Misi Fakulti Sains dan Teknologi dari perspektif mahasiswa
Harapan PMFST
Setiap daripada kita harus menerima hakikat bahawa alam kampus hari ini sentiasa mengalami arus perubahan. Hal ini menyebabkan kita sebagai komuniti sainstifik kadang-kala berasa tertekan dan ditekan. Sikap keterbukaan mahasiswa dalam mengemukakan pandangan serta penilaian dari perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian oleh semua pihak dan seharusnya mendapat pertimbangan yang munasabah untuk kepentingan bersama. Ibarat perumpamaan dalam pepatah inggeris ini “There are three kinds of people… the one who sits in the chair of life, looking and doing nothing (and becoming nothing), the second person who changes with time and by all the factors of change, and the last person is the one who create the changes”.
Harapan kami kepada pihak Pengurusan Fakulti dapat bersama-sama membantu PMFST dalam merealisasikan visi dan misi tersebut seterusnya membina satu hubungan ‘mutual relationship’ yang baik bagi kami melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab yang besar dan berat ini. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Al Ahzab: 72
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
Adapun Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik dan wajib diteladani. Maka wajiblah para barisan kepimpinan PMFST memuhasabahkan dirinya dengan Islam, bersahabat dengan semua, bekerjasama dengan pihak yang sedia bekerjasama dalam perkara yang baik dan menentang kemungkaran mengikut landasan Islam dan batas-batasnya, terbuka dengan semua pihak dengan yakin kepada perintah Allah SWT.
Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan PMFST sesi 2012-2013, akan berusaha mengemudikan bahtera di lautan ilmu ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran.
سيروا على بركةالله
والحمدالله رب العلمين
Sekian. Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[1] Falsafah UKM
[2] Visi FST, UKM
[3] Falsafah Pendidikan Negara
[4] Etika Dalam Kegiatan Sains Menurut Perspektif Islam, Prof Dr Mohd Arip Kasmo
Ikrar Barisan Kepimpinan PMFST sesi 2012/2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan