Khamis, 28 Jun 2012

Traveler of Time

Assalamualaikum wrb...

Muqadimah

Lama rasanya tak menaip dekat blog ni (rasanya kerap sangat cakap benda ini). Disebabkan ke'sibuk'an dan urusan lain lagi mungkin penyebab malas atau takde masa nak menaip. Irregular.. Itu yang mampu aku katakan (kejap saya kejap aku..). Akui...nak capai ke sepuluh per sepuluh Muwasofat Tarbiyah itu memang payah (dalam kes ini.. munadzomun fo syu'unihi iaitu urusan yang teratur, masih lagi kurang berjaya dalam diriku). Tetapi ia tidak bermakna usaha itu tiada sebaliknya sebagai seorang muslim, perlu kita lebih berusaha untuk memperbaiki diri kita and constantly applied what we learn in our daily practises.
Agaknya bila dah kerja dan kahwin macam mana pulak ye...?
(^^,)

Pada 1 Jun lepas, sejujurnya, aku (with Syahid, Mikael, Arrahum dan Taufiq - ini baru satu kereta, ada lagi 2 kereta tapi tak perlu kut semua) pergi ke satu program dekat Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Kami sampai lewat sikit, kesian dekat Syahid yang nak sangat pergi kuliah UAI masa tu dek singgah menziarah rumah Aizat dan keluarganya yang spoting.

Habis sahaja berprogram di sana, kami sempat berjalan-jalan ke gerai-gerai (booth) yang dibuka sekitar stadium itu. Sampai di suatu sudut, agak (memang pun) penuh dengan gerai-gerai yang menjual buku-buku rujukan, haraki, perbincangan, soal jawab berkenaan dengan agama. "Wow!" bisikku dalam hati. Berbekalkan duit RM100+, aku membeli dua buah buku sahaja, kerana RM100 tu nak bayar hutang, lebihan dalam RM30 untuk perjalanan seterusnya. Pendek cerita beli dua buah pun sebab satu buku tu nak bagi dekat seorang muslimat semasa bergerak kerja dalam Fiesta Inspirasi Islam (takde apa2 ye. Sebab bagi dia pinjam satu buku, kebetulan dia kata nak beli buku tu jugak. Cari dekat Kedai Buku Syabab dekat PKNS Bangi, tak jumpa. Dah alang-alang jumpa dekat sana, beli je la untuk dia). Dan satu lagi buku sebagai 'cenderamata' di sana (based on experience jalan2 sebelum ni, cenderamata seperti key-chain dll cepat sangat rosak, baik beli buku atau penanda buku - 2 in 1 benefit..and maybe 3).

Isi Penting

Dari buku karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan, 'Sehingga Para Pemuda Mengerti' (terjemah bahasa melayunya), yang diterjemahkan oleh para Al Ghuraba' dari Jundi Resources, amat menitik beratkan soal merealisaikan slogan yang sering kali kedengaran pada mulut para ahli harakah iaitu;
"Allah matlamat kami, Rasul ikutan kami, al Quran perlembagaan kami, Jihad jalan kami, mati syahid di jalan Allah cita tertinggi kami."
 Slogan ini pada hakikatnya berat, ia mungkin tidak akan berinteraksi dengan hati oleh si penyebutnya dan apatah lagi sekiranya ia tidak meninggalkan kesan ke dalam jiwa si penyebutnya. Contoh terbaik mereka yang merealisasikan kata-kata atau slogan ini tidak lain adalah para ashab madrasah Rasulullah SAW (para sahabat). Apabila kesatuan diantara kata-kata dari mulut ini diterjemahkan dengan tindakan, sepadu dengan realiti kehidupannya, dengan izin Allah, akan tertegakknya kesatuan dan daulah Islamiyah (bak kata penulis...ia bukanlah perkara yang sukar bagi Allah SWT).


Mari kita soroti setiap satunya....


1.0 Syiar Pertama: Allah Matlamat Kami

1.1 Mengikhlaskan bagi Allah di dalam setiap percakapan dan perbuatan, setiap ibadah dan juga jihad

1.2 Beri'tikad di dalam lubuk hati bahawa syariat Allah itulah petunjuk, penyelamat, sempurna lagi kekal abadi

1.3 Berserah, penyerahan yang cukup sempurna kepada setiap arahan yang diperintahkan Allah SWT dan setiap larangan yang ditegahNya

1.4 Meyakini dari dasar hatimu bahawa Allah SWT adalah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan

1.5 Menjadikan redha Allah SWT dan takut kepadaNya sebagai target dan matlamat hidup



2.0 Syiar Kedua: Rasulullah Ikutan Kami

2.1 Tauladan ibadat Rasulullah SAW

2.2 Tauladan sifat zuhud Rasulullah SAW
- Baginda ingin mengajarkan generasi Islam dengan sifat zuhudnya ini makna kasih sayang, pengorbanan dan mengutamakan orang lain
- Baginda ingin menjadi contoh kepada generasi Islam dengan hidup yang sederhana dan berpada-pada
- Baginda ingin memahamkan mereka yang mempunyai penyakit di dalam hati, golongan munafik, missionari dan musuh Islam yang lain, bahawa baginda tidak pernah berniat untuk mengumpulkan harta duniawi lebih daripada dakwah

2.3 Tauladan sifat tawadu' Rasulullah SAW

2.4 Tauladan sikap pemaaf Rasulullah SAW

2.5 Tauladan kekuatan tubuh badan Rasulullah SAW

2.6 Tauladan sifat keberanian Rasulullah SAW

2.7 Tauladan kepintaran baginda SAW dalam politik dan menguruskan perkara

2.8 Tauladan keteguhan baginda SAW dalam berprinsip

2.9 Tauladan kefasihan lidah dan adab-adab berbicara Nabi SAW



3.0 Syiar Ketiga: Al Quran Perlembagaan Kami


3.1 Ciri-ciri dan keistimewaan Al Quran sebagai perlembagaan umat Islam
- Rabbaniyah (Ketuhanan)
- Alamiyyah (Menyeluruh kepada seluruh alam)
- Syumul (Merangkumi setiap aspek kehidupan)
- Ata' wa tajaddud (Memberi manfaat dan kontemporari)
- Adlu mutlak (Keadilan yang mutlak)


4.0 Syiar Keempat: Jihad Jalan Kami


4.1 Untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi dan menghapuskan segala thagut yang menghadang di tengah-tengah jalan dakwah

4.2 Pada pandangan Islam ada beberapa jenis jihad iaitu:
- Jihad harta benda
- Jihad menyampaikan dakwah
- Jihad mengajar (ilmu dan hukum hakam Islam)
- Jihad politik
- Jihad berperang



5.0 Syiar Kelima: Mati Di Jalan Allah Cita Tertinggi Kami




Semoga perkongsian dalam coretan yang sedikit ini memberi manfaat.
Assalamualaikum..

Sabtu, 9 Jun 2012

Majlis Penyampaian Watikah PMFST & Ucapan Dasar Yang Dipertua 2012/2013




UCAPAN DASAR
YANG DIPERTUA PMFST SESI 2012-2013

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam perpaduan.

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Sahrim Haji Ahmad
Dekan, Fakulti Sains dan Teknologi

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Shahidan Radiman
Timbalan Dekan (Prasiswazah dan Alumni) FST

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Mohd Salmi Noorani
Timbalan Dekan, (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) FST

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar
Timb. Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FST

Yang Berbahagia
Pengerusi-Pengerusi Pusat
Ketua-Ketua Pusat Kecemerlangan

Yang Berusaha,
En. Mohd Walid Osman
Ketua Penolong Pendaftar Kanan

Yang Berusaha
En. Zameri Ramli
Penolong Pendaftar Kanan

Barisan Kepimpinan Persatuan Mahasiswa FST Sesi 2011 / 2012

Barisan Kepimpinan Persatuan Mahasiswa FST Sesi 2012 / 2013
Dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian.

Berfirman Allah SWT dalam kitabnya yang Agung,

“(1) Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (4) Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As Saff: 1-4)

Alhamdulilah, marilah bersama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dan marilah kita berselawat dan mengutuskan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin. Atas keredhaan dan keizinan-Nya, maka pada hari yang bersejarah ini kita semua dapat berhimpun dalam satu majlis yang amat bermakna iaitu Majlis Penyampaian Watikah dan Ucapan Dasar Yang DiPertua, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Sesi 2012-2013 yang julung kali diadakan.

Persatuan Mahasiswa Fakulti yang ditubuhkan di setiap fakulti merupakan salah satu platform untuk mengembang dan menggilap potensi kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara kelak. PMFST juga merupakan pengantara pelajar dengan pihak pentadbiran fakulti dan universiti dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul di kampus khususnya di Fakulti Sains dan Teknologi.

Perhimpunan kali ini lebih bererti kerana barisan saf kepimpinan PMFST yang baru dilantik bagi menggantikan saf kepimpinan yang lama. Terima kasih diucapkan kepada barisan kepimpinan yang lama, tahniah dan takziah kepada barisan kepimpinan yang baru.

Keilmuan, Kebajikan, Kesatuan

Sidang hadirin sekalian,
            Saban tahun, tema atau motto ini diulang cetak oleh barisan kepimpinan PMFST pada sesi yang lepas bagi melayari setahun lautan kepimpinan. Bersesuaian, bertepatan dan masih lagi relevan dengan kewujudan PMFST sebagai persatuan induk mahasiswa di Fakulti Sains dan Teknologi, maka tema atau motto yang sama ini diguna pakai pada sesi kepimpinan kali ini. Saya yakin, dengan tema ini, PMFST kelihatan gagah dari sudut luaran dan dalamannya. Gagah luaran biasanya merujuk kepada bentuk atau 'form' sementara gagah dalaman merujuk kepada inti atau 'substance'. Seandainya dapat digandingkan kedua-dua sumber kekuatan ini, Insha Allah, PMFST akan menjadi satu persatuan yang terbilang.


Visi PMFST

Bentuk atau 'form' adalah mudah diusahakan. Namun, inti atau 'substance' pula, sukar dijelmakan. Penjanaan 'substance' memerlukan asas-asas ilmu, ketrampilan, kesungguhan, keikhlasan dan kejujuran. Untuk memacu PMST ke arah menjadi sebuah badan yang proaktif, maka tidak seharusnya PMFST menjadi persatuan yang berideologi semata-mata. PMFST mesti menawarkan program-program yang ‘empirical’ yang berkait langsung dengan kehidupan sebagai warga sainstifik. Mesti ‘project-oriented’, mesti ‘knowledge-based’, mesti menjuarai proses ‘re-engineering’ mahasiswa FST dan akhirnya berupaya melakukan transformasi sosial membentuk morfologi warga sainstifik. Yakni warga sainstifik yang kukuh paduan antara iman kepada Allah SWT dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal [1]. Oleh yang demikian, barisan kepimpinan kali ini telah menetapkan visi PMFST sesi kali ini adalah ‘PMFST sebagai badan pimpinan yang proaktif ke arah merealisasikan Fakulti Sains dan Teknologi sebagai fakulti yang terunggul di Malaysia[2] seiring dengan Falsafah UKM.’

Misi PMFST

Falsafah Pendidikan Negara menyebut bahawasanya “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani (JERI) berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.[3]”  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sebagai sebuah ‘front’ mahasiswa khusus kepada para mahasiswa/i FST, PMFST haruslah mempunyai pengaruhnya tersendiri dalam menjadi peneraju ke arah merealisasikan cita-cita ini. Oleh yang demikian, barisan kepimpinan kali ini telah meletakkan beberapa misi yang tersendiri iaitu:
1.      Melahirkan mahasiswa yang seimbang dalam aspek intelektual dan sahsiah; dan,
2.      Meluaskan pengaruh PMFST dalam kalangan mahasiswa FST

Strategi dan Pelan Tindakan

Strategi dan pelan tindakan yang realistik serta mampu menangani tuntutan-cabaran semasa adalah penting bagi kelangsungan sesuatu organisasi. Jika penegasan Visi dan Misi menjelaskan hala-tuju dan matlamat PMFST, strategi PMFST pula menjelaskan bagaimana kita akan sampai ke destinasi itu yakni merealisasikan visi dan misi tersebut. Kita mahukan PMFST supaya menjadi sebuah organisasi yang usuliy (fundamentalis) dari segi prinsip, mu’atsir (kontemporari) dari segi perlaksanaan dan istiqbaliy (futuristik) dari segi persiapan masa depan. Antara strategi dan pelan tindakan yang telah dirangka adalah seperti berikut:
1. Membudayakan ilmu sains dan teknologi berlandaskan kepada konsep ketuhanan 
2. Memperkasakan PMFST sebagai penghubung diantara mahasiswa FST dengan pihak Pentadbiran FST
3. PMFST sebagai badan kebajikan pelajar
4. Memantapkan hubungan PMFST dengan rexco (rakan exco dan kelab-kelab akademik fakulti

1.         Membudayakan ilmu sains dan teknologi berlandaskan kepada konsep ketuhanan

Menurut Islam, semua aktiviti membangunkan alam yang dilakukan oleh orang Islam sewajarnya berlandaskan kepada lima asas iaitu tawheed uluhiyyah, tawheed rubbubiyah, khilafah, tazkiah an nafs dan al falah.[4] Justeru ia merupakan suatu ibadah kepada muslim tersebut. Sebagai sebahagian daripada komuniti sainstifik, PMFST akan membudayakan ilmu sains dan teknologi berlandaskan kepada konsep ketuhanan melalui penganjuran forum-forum, Diskusi Rohani dan sebagainya.

            Barisan kepimpinan PMFST juga berhasrat agar dapat meneruskan projek Fiesta Sains dan Teknologi dan menjadikannya sebagai satu projek tahunan dan ditakwimkan dalam kalender Fakulti Sains dan Teknologi. Melalui penganjuran Fiesta Sains dan Teknologi, mahasiswa FST akan dapat didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan berpeluang untuk memperoleh maklumat kerjaya sebelum menamatkan pengajian melalui kerjsama dengan institusi penyelidikan dan syarikat-syarikat swasta.

2. Memperkasakan PMFST sebagai penghubung diantara mahasiswa FST dengan pihak Pentadbiran FST

Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Presiden Indonesia) pernah mengatakan, “Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin”. Menurutnya lagi, “pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat.” Hal ini memberi peringatan yang jelas bahawa penubuhan PMFST bertujuan untuk membantu pelajar dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi khususnya di Fakulti Sains dan Teknologi ini. Sehubungan itu, pada sesi ini PMFST akan berusaha memperkasakan ‘bonding’ dengan mahasiswa FST dan menjadi perantara mereka dengan pihak Pentadbiran FST dan begitu juga sebaliknya.

3.         PMFST sebagai badan kebajikan pelajar

Dato’ Onn Jaafar pernah menyebut, “Apabila seseorang itu jatuh, janganlah ditindih lagi. Sepatutnya diberi pertolongan. Ini akan menunjukkan bahawa seseorang itu akan ingat atas kesusahan orang lain”. Masalah yang sering dilaporkan oleh mahasiswa adalah mengenai kemudahan dewan dan bilik kuliah yang tidak kondusif, surau dan tandas yang tidak selesa dan sebagainya. Permasalahan ini telah berlarutan bertahun-tahun lamanya dan pada tahun ini, PMFST bernekad untuk terus membawa suara mahasiswa FST ini ke pihak yang terbabit dan memastikan terus di‘update’ mekanisme perlaksanaan penyelesaian masalah tersebut.

4.         Memantapkan hubungan PMFST dengan rexco (rakan exco) dan kelab-kelab akademik fakulti

Berdasarkan rekod daripada Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel), FST menjadi rumah kepada lebih 20 buah kelab akademik. Namun begitu, hubungan diantara kelab-kelab akademik dengan PMFST dan pihak Pentadbiran FST tidak sebaik seperti di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

            Melihat kepada keberjayaan Fiesta Sains dan Teknologi lepas, barisan kepimpinan PMFST sesi ini berpendapat bahawa Fiesta Sains dan Teknologi akan lebih berjaya lagi andai kata ia melibatkan bersama dengan kelab-kelab akademik yang lain. Justeru, pada sesi kepimpinan kali ini, kami akan berusaha untuk menaungi kelab-kelab akademik di FST ini. Seterusnya melalui kerjasama yang bakal diberikan, PMFST sebagai persatuan induk di FST bersama-sama kelab-kelab akademik FST bakal menjadi satu ketumbukan yang mantap dalam menyokong Visi dan Misi Fakulti Sains dan Teknologi dari perspektif mahasiswa

Harapan PMFST

Setiap daripada kita harus menerima hakikat bahawa alam kampus hari ini sentiasa mengalami arus perubahan. Hal ini menyebabkan kita sebagai komuniti sainstifik kadang-kala berasa tertekan dan ditekan. Sikap keterbukaan mahasiswa dalam mengemukakan pandangan serta penilaian dari perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian oleh semua pihak dan seharusnya mendapat pertimbangan yang munasabah untuk kepentingan bersama. Ibarat perumpamaan dalam pepatah inggeris ini “There are three kinds of people… the one who sits in the chair of life, looking and doing nothing (and becoming nothing), the second person who changes with time and by all the factors of change, and the last person is the one who create the changes”.

Harapan kami kepada pihak Pengurusan Fakulti dapat bersama-sama membantu PMFST dalam merealisasikan visi dan misi tersebut seterusnya membina satu hubungan ‘mutual relationship’ yang baik bagi kami melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab yang besar dan berat ini. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Al Ahzab: 72
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

            Adapun Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik dan wajib diteladani. Maka wajiblah para barisan kepimpinan PMFST memuhasabahkan dirinya dengan Islam, bersahabat dengan semua, bekerjasama dengan pihak yang sedia bekerjasama dalam perkara yang baik dan menentang kemungkaran mengikut landasan Islam dan batas-batasnya, terbuka dengan semua pihak dengan yakin kepada perintah Allah SWT.

Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan PMFST sesi 2012-2013, akan berusaha mengemudikan bahtera di lautan ilmu ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran.

سيروا على بركةالله 
والحمدالله رب العلمين

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

[1] Falsafah UKM
[2] Visi FST, UKM
[3] Falsafah Pendidikan Negara
[4] Etika Dalam Kegiatan Sains Menurut Perspektif Islam, Prof Dr Mohd Arip Kasmo

Ikrar Barisan Kepimpinan PMFST sesi 2012/2013


Barisan Kepimpinan PMFST sesi 2011/2012
(YDP-A Kamarudin)
(Barisan atas: Exco Pembangunan Insan-Fauzi, Timb. Pengerusi Kebajikan II-Akmal, Exco Sukan & Kebudayaan-Fikri, Exco ICT dan Penerbitan-Hakim, (*ntah sapa ntah), Pengerusi Kebajikan-A Shafiq, Timb. Exco Akademik-Iqbal, Exco Ekonomi-Asri
Barisan tengah: Timb. Exco Pembangunan Insan-K Syatirah, Timb. Pengerusi Kebajikan I-Annis, Pengerusi SHES-Zafirah, Timb. Bendahari Kehormat-Emy, Timb Exco ICT & Penerbitan-Hafizah, Timb. Exco Hubungan Seranta-Zaharul, Timb. Exco RnD-Asyikin)
(yang tiada-TYDP K Hajar, NYDP 1 A Fuad, NYDP 2 Haziq, NYDP 3 K Nadwa, Timb. SUA Jannah, Bendahari Kehormat K Junizawati, Exco Akademik Amirul Husna, Exco Hubungan Seranta Afiq, Exco RnD A Hafiz, Timb. Exco Ekonomi Shukery, Timb. Exco Sukan & Kebudayaan Hanani, Timb. Pengerusi SHES Nadiah)



Selasa, 5 Jun 2012

STPD 2013 Sejarah Dan Falsafah Sains: Sains Tak Perlu Kepada Agama? - assignment

STPD 2013 Sejarah Dan Falsafah Sains:
Sains Tak Perlu Kepada Agama?

Pensyarah
ROZIDAWATI BINTI AWANG
WAN FUAD @ TUAH BIN WAN HASSAN
WAN MOHD AIMRAN BIN WAN MOHD KAMIL
MOHD. YUSOF BIN HJ. OTHMAN
BAHARUDIN BIN YATIM

Nama
Muhammad A’asry Bin Muhammad
A134174
Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz
A134245



1.0  PENGHARGAAN

Pertama sekali, kami ingin melahirkan syukur ke hadrat Allah di atas segala petunjuk dan hidayah-Nya. Alhamdulillah, kertas kerja ini telah berjaya disiapkan dengan ilham, kurnia dan petunjuk yang telah dianugerahkan oleh-Nya.

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi besar kita Muhammad s.a.w dan kepada ahli keluarganya, seterusnya kepada para sahabat baginda dan para tabi'n, para alim ulama sehinggalah kepada sekelian hamba-hamba Allah yang mengikuti jejak langkah mereka. Terima kasih yang amat terhingga kepada kedua orang tua kami yang telah mendidik dan mengasuh kami dari kecil hinggalah ke hari ini dalam keta'atan kepada Allah s.w.t.

Seterusnya kepada semua para asatizah dan guru-guru yang pernah dan yang masih mengajar kami. Kepada Wan Mohd Aimran Bin Wan Mohd Kamil, koordinator yang telah banyak memberikan sokongan, galakan dan perangsang yang sepenuhnya kepada kami untuk meneruskan usaha menyudahkan kertas kerja ini.

Seterusnya kepada sekalian rakan-rakan dan teman yang telah membantu menjayakan kertas kerja ini. Semoga Allah s.w.t. memberikan ganjaran pahala yang besar kepada semua hamba-hamba-Nya yang sentiasa membantu dalam menegakkan agama-Nya. Amin.

2.0  PENGENALAN / LATAR BELAKANG

Kegiatan sains telah dilakukan oleh manusia semenjak dahulu lagi seperti yang terdapat dalam Tamadun Greek, Tamadun India, Tamadun China dan sebagainya. Tamadun Islam telah belajar daripada tamadun silam seperti Tamadun Greek, Tamadun India, Tamadun Parsi dan Tamadun China, menambah dengan karya-karya mereka sendiri dan juga melakukan inovasi sehingga berjaya muncul sebagai peneraju sains selama 700 tahun lamanya (diantara 700 hingga 1400 tahun Masihi). Kemerosotan sains dalam Tamadun Islam disusuli oleh kemunculan Tamadun Barat moden telah mengubah keadaan manusia sejagat di mana perubahan yang berlaku kepada tamadun kebendaan manusia selama 200 tahun semenjak revolusi industri hingga sekarang terlalu besar, menghasilkan pelbagai ciptaan dan teknologi baru sehingga manusia dapat menerobosi langit yang jauh dan menerokai alam dan manusia juga belum pernah berlaku sebelum ini.
Kebimbangan manusia kepada kemusnahan alam sekitar dapat dilihat di dalam Deklarasi Montreal, Rio dan juga Protokol Kyoto. Kejayaan manusia membina tamadun kebendaan yang begitu hebat sekali diumpamakan oleh Roger Garaudy @ Rija’ Garaudy, seorang ahli falsafah Perancis sebagai menggali kubur sendiri (Garaudy R. 1966).

3.0 OBJEKTIF

5.1       Membudayakan ilmu sains berlandaskan konsep ketuhanan.
5.3       Melahirkan mahasiswa yang berkeyakinan, berkepimpinan dan mempunyai jati diri yang unggul.


4.0 METOD KAJIAN

4.1 Buku, artikel dll
4.2 Internet

5.0 KANDUNGAN

5.1       Sekularisasi Sains dan Teknologi

5.1.1    Pengenalan
Kemunculan peradaban bandar dan keruntuhan agama tradisi disifatkan sebagai dua ‘mercutanda’ zaman moden yang amat berkaitan antara satu sama lain. Urbanisasi adalah satu proses perubahan dalam tatacara manusia hidup bersama sebagai masyarakat dan ini terjadi dengan pencapaian-pencapaian manusia dalam bidang sains dan teknologi, yang mana ia bertitik tolak dari kemusnahan pandangan-pandangan hidup tradisional. Menurut Harvey Cox, sekularisasi sebagi pembebasan manusia pertama-tamanya daripada agama dan kemudiannya daripada kawalan metafizik ke atas akal-budi dan bahasanya. Ianya bukan bertujuan untuk menghukum agama sebaliknya melangkaui dan memintas agama dengan menghadkan ia sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Yang mana sekularisasi menerangkan keadaan manusia bergerak ke arah kematangan dan menghuraikan konteks dimana proses itu berlaku.

Tiga elemen penting yang menjadi asas kepada sekularisasi adalah:
  1. ‘disenchantment of nature’
    • Yang mana ia dihuraikan sebagai penyediaan alam tabi’i menjadi pentas yang mutlak untuk pembangunan disiplin sains tabi’i
  2. ‘desacralization of politics’
    • Membuang unsur-unsur atau menyingkirkan pentauliahan kerohanian dari wibawa politik
  3. ‘doconsecration of values’
    • Penghapusan makna rohani dari nilai-nilai yang terdapat dalam fikiran dan kelakuan insan

5.1.2    Isu-isu Etika Dalam Sains dan Teknologi
Isu etika seringkali menjadi tajuk perdebatan antara golongan saintis dengan golongan agama mahupun budayawan. Manusia sebagai makhluk social hidup dalam aturan susila dan sentiasa beraktiviti. Sains dan teknologi adalah hasil aktiviti manusia yang tidak terlepas daripada isu etika.

Etika berasal dari bahasa Yunani iaitu ‘ethico’  iaitu moral. Secara definisinya, etika disini bermain pada persoalan moral yang bermaksud persoalan praktikal yang berkaitan dengan betul atau salah, benar atau tidak. Pertimbangan moral seseorang sebahagiannya bergantung kepada suasana atau keadaan ia dibesarkan, system social atau kelas ia hidup atau agama yang dianutinya.

Etika umumnya mengkaji tiga persoalan utama manusia iaitu:
  1. ‘Apakah kebaikan  dan keburukan?’,
  2. ‘Apakah criteria untuk mengukur baik atau buruk?’ dan
  3. ‘Persoalan motif atau niat di sebalik tingkah laku manusia?’
Etika pada pandangan pemikir dan aliran falsafah barat ialah kebaikan berkisar pada ilmu, kebahagiaan, kesempurnaan, keseronokan yang diingini oleh manusia.

5.1.3    Isu sejarah sekularisme dalam sains dan teknologi
Isu ini timbul apabila Barat terkongkong dalam persepakatan Gereja hingga bertindak memisahkan antara gereja dan agama. Pada zaman pertengahan ketamadunan Islam, wujud interaksi antara Barat dengan tamadun Islam. Barat melihat orang Islam menggunakan kebebasan akal untuk maju. Oleh kerana itu, Barat terima hakikat keunggulan akal dan cuba memisahkan hakikat akal dengan agama. Maka lahirlah tokoh ilmuan Barat seperti Copernicus dan Galilio Galili dan pengaruh mereka telah melahirkan suatu revolusi pemikiran pada dunia Barat.

Sekularisme sains ini ditegaskan bahawa sains itu hanya ilmu yang berasaskan kajian emperikal bukannya kerohanian. Hakikatnya ia bermatlamat bahawa sains dan teknologi ini tertakluk kepada akal budi manusia sahaja.

Aliran Empirikal
Meletakkan ukuran kemajuan atas sesuatu yang bersifat fizikal atau material yang boleh dibuat ujikaji.
-           Hidup manusia hanya tertumpu pada kebendaan.
-           Hal kerohanian dan ketuhanan di luar bidang kajian kerana sukar dibuktikan.

5.1.4    Isu penyalahgunaan Etika Dalam Sains dan Teknologi
Pengklonan dan Kejuruteraan Genetik
·         Tujuannya adalah bagi menghasilkan produktiviti pertanian dan penternakan, perindustrian dan perubatan. Pelopor awal adalah dari ahli embriologi Scotland – Ian Wilmut – yang menghasilkan kambing biri-biri bernama Dolly.
·         Ia menular kepada pengklonan manusia – yang mana ia melanggar fitrah manusia. Antara kesan buruk pengklonan manusia:
o   Masalah hokum kekeluargaan
o   Hubungan psikologi
o   Pertimbangan moral
o   Pertimbangan keamanan dan keselamatan
o   Membazir dana dan kewangan
·         “Pengklonan manusia haram dan perlu dihalang dengan apa cara sekalipun. Ia menjadikan manusia yang asalnya sebagai hamba yang dimuliakan disisi Allah, terhina apabila dijadikan objek penyelidikan yang akan menimbulkan pelbagai masalah sampingan” ~ Majlis Fatwa al-Azhar

Penyalahgunaan IT
·         Pemalsuan kos keselamatan
·         Merompak institusi kewangan
·         Terbitan bahan lucah
·         Sebar fitnah dan virus melalui internet
·         Budaya meng’hack’ akaun

Perlumbaan Senjata
·         Dengan menghasilkan senjata yang tercanggih dan member kesan yang menggerunkan. Menyebabkan ia memusnahkan manusia dan alam sekaligus dan memberi kesan jangka masa panjang. Contoh; Bom Atom, Teknologi Nuklear, senjata biologi, senjata kimia

Racun kimia, pembangunan tidak terkawal
·         Menyebabkan banjir dan lain-lain bencana alam. Ia juga menyebabkan isu kerosakan dan kepupusan flora dan fauna – jejas keseimbangan ekologi selain member kesan buruk pada kesihatan dan kehidupan manusia.
5.2       Sains Perlu Kepada Ketuhanan
Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, tapi kita harus sedar akan keterbatasan kemampuan akal manusia yang dikurniakan Allah. Terdapat pelbagai perkara di dunia yang kita tidak mampu perjelaskan atau huraikan dan itu semua terangkum dalam kekuasaan Allah untuk memperlihatkan kuasaNya yang tidak ada tolok bandingnya kepada hamba-hambaNya. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam Islam, wahyu melangkaui akal kerana wahyu itu datang dariNya manakala sains pula hadir dari pengamatan, pemerhatian dan ilham yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa jua kesimpulan yang dibuat yang selari dengan syarak, boleh diterima, manakala yang bertentangan dengan syarak harus ditolak agar tidak berlaku kesalahfahaman terhadap ajaran islam yang merupakan Kalamullah. Perkara ini dapat dilihat dalam surah Al-Jathiyah ayat 20 yang bermaksud;
“Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”

Syariat akan mencantikkan sains yang terhasil. Sains itu sebenarnya memiliki dua sisi bergantung kepada penggunanya. Dengan menggunakan pisau sebagai contoh, sebilah pisau biasa digunakan untuk urusan harian di dapur, namun pada suatu hari rumah tersebut dipecah masuk perompak yang menggunakan pisau tersebut untuk membunuh tuan rumah. Realitinya sains harus digunakan oleh orang yang betul di jalan yang betul. ADIL. Jika dilihat definasi adil itu sendiri ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Mana mungkin kita berlaku tidak adil dengan memisahkan sains dari agama bak kata Albert Einstein “Science without religion is blind, Religion without science is lame”. Orang yang betul pula harus diasuh dan diterapkan dengan pendidikan berteraskan agama agar tidak melanggar syariat dan hanya berteraskan nafsu yang ingin mengejar nikmat dunia semata-mata. Jadi kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud,
“Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah)

 Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism dan ini telah ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains.” Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999. Mereka rasakan bahawa sains harus dipisahkan dari agama agar daya kreativiti mereka tidak terbatas oleh limitasi dalam agama walhal agama itulah yang akan membentuk penemuan sains yang menakjubkan.

Barat dilihat terlalu taksub dengan sains kerana pada mereka sains mampu membawa mereka jauh merentasi keajaiban alam yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka selama ini. Mereka ingin mengorak langkah melintasi sempadan manusia itu sendiri setelah mereka mampu meleperkan gunung-ganang, mampu mengalihkan aliran sungai dan sebagainya. Sayangnya mereka gagal menemui kebesaran Allah disebalik ciptaanNya tetapi sebaliknya yang ditemui hanyalah rasa megah dan khayal akan nikmat duniawi yang kononnya tiada sempadan. Pada mereka pencapaian ilmu sains itu haruslah bersifat material dan bukannya nilai-nilai yang terhasil contohnya Tauhid kepada Allah.

Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.
Pada ayat-ayat al-Quran diturunkan, tidak siapa jelas mengenai makna yang tersirat di dalamnya. Misalnya surah Yunus dalam ayat 61 dalam al-Quran yang menerangkan mengenai atom benda yang kecil manakala dalam ayat 80 surah Yasin membincangkan mengenai atom adalah benda terkecil.

Matlamat jangka panjang sains itu sendiri ialah untuk mengagungkan dan membesarkan Allah. Jika kita merujuk Al-Qur’an dan memikirkan proses penciptaan manusia kita akan terkejut dengan kebenaran yang dipamerkan didalamnya. Hal ini terpamer  dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud;
Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah(percampuran air mani)  itu alaqah(segumpal darah). Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah(seketul daging). Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.”

Dr. KeithL. Moore ialah seorang profesor dalam bidang Anatomi di Universiti Toronto, kanada. Beliau pemah dianugerahkan dengan J.C.B. Grant Award pada tahun 1984, dan telah menulis lebih kurang 150 artikel dalam bidang anatomi dan embriologi. Dalam buku The Developing Human: Clinically Oriented Embryology, beliau menyatakan kekaguman beliau dengan ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang ilmu embriologi. Dalam pendahuluan bukunya The Developing Human: Clinically Oriented Embryology (Third Edition) ini, beliau berkata, "Selama tiga tahun saya telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Embriologi di Universiti Abdul Aziz Jeddah, untuk membantu mereka menginterpretasikan ayat-ayat Quran dan Hadis yang berkaitan dengan kejadian manusia dalam rahim. Saya amat kagum dengan ketepatan ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan pada abad ketujuh Masihi ini dibandingkan dengan penemuan ¬penemuan semasa, sedangkan ketika itu bidang sains embriologi masih belum wujud. Selama ini saya tidak pemah tahu isi-isi yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah."

Ketika membentangkan kertas kerjanya di Kaherah berhubung dengan embriologi dan Al-Quran, beliau berkata: "Saya berasa amat gembira kerana berpeluang terlibat dengan usaha untuk menjelaskan maksud ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan pertumbuhan manusia. Bagi saya, kenyataan-kenyataan ini menunjukkan ia datang daripada Tuhan disebabkan ilmu ini tidak diketahui hingga beberapa abad Selepas itu. Ini membuktikan, Muhammad adalah seorang Utusan Tuhan."

Sains juga seharusnya membawa seseorang lebih dekat dengan tuhan. Pelbagai insiden telah dihadapi oleh para saintis barat dalam mencari kebenaran yang akhirnya membawa mereka kepada agama yang satu iaitu Islam. Pakar Kajian Laut Dalam Perancis, Mr Jacues Yves Cousteau, seorang yang telah menghabiskan sepanjang hidupnya mengkaji penghidupan dibawah Laut, dan beliau merupakan seorang yang berrfokuskan didalam bidang eksplorasi Laut Dalam telah memeluk agama Islam setelah menemui satu penemuan yang menakjubkan dan disahkan oleh al-Quran.

Jacues Yves Cousteau telah mendapati bahawa bahawa terdapat kesan-kesan Air tawar dari mata air berada didalam Air Laut masin. Apa yang menakjubkan beliau adalah air tawar dari mata air tersebut tidak bercampur dengan air Laut masin itu. Agak lama juga beliau mencari sebab kenapa fenomena ini berlaku, dan beliau tidak menemui sebarang jawapan.

Pada suatu hari, beliau telah menemui seorang Professor yang memberitahu beliau bahawa fenomena yang berlaku itu adalah merupakan satu perintah dari Allah swt sebagaimana firmannya:
“Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Dia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya“
[Surah Al-Furqan : 53].

“Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui”
[Surah An-Naml : 61]

“Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya”
[Surah al-Rahman : 9:20]

Mendengar keterangan ini, Mr Jacques Yves Cousteau menjadi yakin akan kebenaran al-Quran, lantas memeluk agama Islam.

5.3       Sejauh Manakah Sempadan Sains?
Persoalan yang timbul sekarang ialah di manakah sempadan sains itu sendiri? Ketika manusia berlumba-lumba mengejar kejayaan yang bersifat material , mereka cuba untuk meninggalkan agama dan seterusnya cuba mengambilalih peranan Tuhan. Jika dilihat sekarang saintis semakin rancak untuk mencari jalan melalui penyelidikan untuk mengatasi limitasi keupayaan manusia. Namun sejauh manakah terbukti keberkesanan penemuan mereka itu?

Pemanasan global telah menjadi isu yang merisaukan para saintis kebelakangan ini. Menurut Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang telah lama memantau dan membuat kajian mengenai pemanasan global, suhu dunia mungkin akan meningkat serendah 1.1°C hingga setinggi 6.4°C. Peningkatan 2°C sekalipun akan mengakibat penenggelaman kepulauan Maldives dan yang paling mebimbangkan mereka ialah kemungkinan permafrost yang meliputi ribuan kilometer sepanjang Alaska , Canada dan juga Siberia. Jumlah CO2 yang terkumpul di bawah kawasan Tundra ini dua kali ganda lebih besar berbanding jumlah CO2 di atmosfera. Jadi peleburan permafrost ini akan mengakibatkan pelepasan gas metana yang jauh lebih berbahaya berbanding gas CO2.
Letusan  Gunung Pinatubo satu ketika dulu, telah melepaskan sejumlah gas  sulfur dioksida. Apabila bercampur dengan air akan membentuk lapisan seakan cermin yang akan memantulkan sinar solar kembali ke langit dan seterusnya mengakibatkan penurunan suhu bumi. Mengambil inspirasi dari kejadian tersebut, sekumpulan saintis yang bergelar SPICE (The Stratospheric Particle Injection for Climate Engineering Project)ingin mengambil inisiatif untuk melepaskan partikel sulfur dioksida ke udara. Matt Watson seorang ahli geofizik di University of Bristol cuba mengkaji apakah partikel yang paling sesuai digunakan yang akan mendatangkan impak maksimum pada objektif kajian namun mendatangkan kesan sampingan paling minimum. Masalahnya besar kemungkinan sulfur dioksida menghasilkan asid sulfuric yang akan menghancurkan atmosfera. Jadi kumpulan penyelidikannya sedang mengkaji dan mencari partikel sintetik yang paling sesuai dan mesra alam.

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah keberkesanan metod yang akan digunakan dan apakah kesan sampingan yang akan dihadapi manusia? Apakah malapetaka yang akan timbul apabila manusia cuba untuk mengambilalih peranan Tuhan? Pelepasan sulfur dioksida ini boleh disamakan seperti kebakaran hutan di Sumatera. Jerebu yang terhasil tidak hanya meliputi kawasan Sumatera tapi juga merebak ke kawasan sekitar contohnya Malaysia. Situasi sama mungkin dihadapi oleh teknik pelepasan sulfur dioksida ini. Sebarang malapetaka yang berlaku mungkin tidak terbatas kepada satu kawasan kecil sahaja, sebaliknya partikel gas tersebut mungkin tersebar dan meliputi kawasan yang luas. Ini mungkin membahayakan bukah sahaja alam sekitar , ekosistem malah manusia disekeliling kawasan tersebut. Jadi adalah mustahil untuk manusia meniru tindakan Tuhan. Tuhan Maha Menegtahui setiap kesan dan hikmah di sebalik tindakanNya tapi adakah kita ciptaanNya yang kecil ini dapat mengenalpasti dan sedar akan setiap kesan sampingan tindakan yang kita ambil?

Contoh lain yang terdapat ialah dalam bidang bioteknologi yang telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.

Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Adakah genetik yang terhasil akan berfungsi tepat sepeti yang direncanakan ataupun ia hanya akan membawa kita kepada pelbagai mudarat? Sesungguhnya kita tidak dapat mengetahui akan kesan tindakan kita sehingga tibanya hari kemudian di mana kita hanya mampu merenung dan menyesali akan kesilapan kita yang lalu. Sesungguhnya Tuhan maha mengetahui setiap tindakanNya tidak seperti kita manusia yang penuh cacat cela.

6.0 KESIMPULAN

Sekularisasi terhadap sains dan teknologi adalah manifestasi dan kesinambungan daripada pertentangan yang berlaku antara agama Kristian dan kehidupan duniawi dalam tamadun Barat. Konfrontasi ini telah lama berlangusng, berpunca daripada kesilapan pihak gereja dan pimpinannya. Mereka bukan sahaja bersikap anti-estabilshment, malah cuba mengawal dan mengongkong setiap aspek kehidupan masyarakat Kristian dan diburukkan lagi dengan penyelewengan dan korupsi yang dilakukan oleh pemuka-pemuka agama tersebut. Konsep asas generik yang membuahkan semua isme ini adalah idea ‘disenchantment of nature’, diikuti oleh desakralisasi dan dekonsekrasi. Menurut Islam, semua aktiviti membangunkan alam yang dilakukan oleh orang Islam sewajarnya berlandaskan kepada lima asas iaitu tawheed uluhiyyah, tawheed rubbubiyah, khilafah, tazkiah an nafs dan al falah. Justeru ia merupakan sauatu ibadah.

Tawheed Uluhiyyah
Kepercayaan bahawa Tuhan itu Esa dan seluruh semesta alam ini adalah hak kepunyaanNya. Dalam hubungan ini, alam adalah ciptaan Allah SWT dan kemunculannya bukan berlaku secara kebetulan. Setiap yang diciptakanNya mempunyai tujuan dan matlamat. Inilah yang memberi maksud serta kepentingan kewujudan di alam maya ini, dan manusia adalah sebahagian daripada alam ini. Manusia perlu menyedari bahawa semua sumber yang ada di dalam alam semesta ini adalah hak kepunyaan Allah SWT dan dengan itu ia tidak boleh digunakan sewenang-wenang atau sesuka hati untuk kepentingan diri semata-mata. Manusia hanyalah pemegang amanah sumber-sumber ini dan mereka perlu memastikan bahawa sumber-sumber ini dimanfaatkan bersama oleh manusia.

Tawheed Rububiyyah
Kepercayaan bahawa Tuhan sahajalah yang menentukan rezeki kepada manusia. Dan akam membimbing orang-orang yang beriman kepadaNya ke arah kejayaan. Dalam usaha pembangunan, manusia harus menyedari bahawa mereka wajib berusaha dan juga mereka p danerlu berserah (berdoa) kepada Tuhan untuk mencapai matlamat pembangunan. Sikap berserah semata-mata (qadariyyah) merupakan sifat yang tidak baik. Manakala sifat yang sebaliknya pula (Jabbariyyah), iaitu percaya semata-mata kepada usaha manusia, dianggap tidak adil kepada Penciptanya.

Khilafah
Manusia adalah khilafah atau duta Allah di atas muka bumi ini. Manusia telah dianugerahkan oleh Tuhan dengan semua ciri-ciri kerohanian dan mental dan juga sumber-sumber material untuk membolehkan manusia melaksanakan tugas dengan berkesan. Dalam aspek tugasnya sebagai khalifah, manusia diberi kebebasan dan berupaya untuk berfikir dan memberi sebab untuk memilih antara betul dan salah, adil dan tidak adil untuk merubah keadaan hidupnya, masyarakatnya dan juga perjalanan sejarah, sekiranya dia mahu. Manusia secara tabiinya adalah bersifat baik dan mulia seperti dalam firmanNya,

"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Al Hijr: 29)

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Ar Rum: 30)

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (At Tiin: 4)

Manusia mampu mengekalkan sifat-sifat ini dan bangkit untuk menghadapi cabaran yang ada sekiranya ia menerima pendidikan dan bimbingan yang betul serta diberi galakan. Oleh sebab manusia sifatnya adalah baik, manusia secara psikologinya akan gembira dan puas selagi ia berada, atau menghampiri sifat dalamannya dan akan berasa tidak gembira serta kecewa apabila ia menyeleweng daripadanya (Jaafar Sheikh Idris, 1977).

Tazkiyyah An Nafs
Ia merujuk kepada pertumbuhan dan pembersihan jiwa manusia sebagai langkah awal yang penting sebelum manusia mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka sebagai khalifah. Manusia merupakan agen perubahan dan pembangunan. Maka amat sesuailah jika perubahan dan pembangunan yang muncul daripada usaha-usaha manusia adalah untuk kebaikan untuk orang lain, bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri serta tidak mengandungi unsur-unsur akhlak dan moral. Tazkiyyah an nafs melibatkan proses penyucian dinamik yang perlu dilakukan setiap orang Islam sekiranya ia mahu berada dalam keadaan Islam yang tetap.

Al Falah
Al Falah merupakan konsep kejayaan dalam Islam di mana kejayaan yang dicapai dalam kehidupan di dunia ini akan menyumbang kepada kejayaan di akhirat selagi kejayaan di dunia ini dicapai menerusi usaha yang tidak bertentangan dengan peraturan Allah SWT. Maka dalam Islam tidak ada pertentangan antara kepentingan dunia dengan kepentingan akhirat.

7.0 RUJUKAN

7.1       Buku, Artikle dll
Kasmo, Mohd. Arip. Etika Dalam Kegiatan Sains Menurut Perpektif Islam. Pusat Pengajian
Umum, UKM
Wan Ahmad, Wan Azhar. Gagasan Sekularisasi Harvey Cox: Satu Pembicaraan Awal
Berdasarkan Pengamatan Al Attas. (Al-Hikmah, Bil. 2 Tahun 7 2001)
Imam Syahid Hassan Al-Banna. Risalah Ta’lim

7.1       Internet
http://www.danialzainalabidin.com/?p=11
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=668&cmd=resetall
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4345.40
http://scaniaz.blogspot.com/2012/02/pakar-kajian-laut-dalam-perancis-peluk.html
http://w3.tbd.my/thread-8397.html