Rabu, 23 November 2011

Cahaya Illahi Penyuluh Kehidupan


"Sesiapa yang disesatkan oleh Allah kerana keingkarannya, tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Allah membiarkan mereka terumbang-abing dalam kesesatan mereka."
(Surah Al A'raf: 186)


Hidayah, petunjuk ataupun cahaya daripada Illahi dalam kehidupan adalah menjadi impian semua individu. Melalui hidayah Allah, manusia mampu mengenali diri dan mengenal Tuhannya. Manusia juga mampu membezakan antara baik dan buruk sesuatu perkara. Melalui hidayah juga manusia mampu merasakan erti kebahagiaan serta dapat merasakan keriangan jiwa dan kelapangan dada dengan kebenaran yang diperolehinya. Melihat pentingnya peranan hidayah dalam memacu kehidupan, persoalannya;

Bagaimana meraih hidayah daripada Allah?
Siapakah yang layak mendapatkannya?
Bagaimana kita dapat mengetahui kita tergolong dalam orang yang mendapat hidayah?

Mudah bagi menjawab persoalan itu. Apabila kembali kepada konsep 3I (Islam, Iman, Ihsan), sudah pasti seseorang individu itu dapat meraih hidayah Allah. Orang yang beriman dengan penuh keyakinan dan melakukan segala pengalaman sebagai bukti dan tanda keimanan serta ikhlas kerana mengharap redaNya, sudah pasti setiap individu mampu mendapatkan hidayah Allah. Namun yang perlu diketahui hidayah adalah hak milik mutlak Allah. Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Pemberi.

Allah menyatakan;
"Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan menjayakan mereka di dunia dan akhirat."
(Muhammad: 2)

Berpandukan maksud ayat ini, dapat kita fahami individu yang berpeluang mendapat hidayah adalah orang yang sentiasa memohon keampunan Allah, sentiasa melakukan amal makruf nahi mungkar  dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Individu yang mendapat hidayah sentiasa merasakan dirinya tenang, gembira jiwanya serta bebas daripada perasaan keluh kesah biarpun berada dalam kesusahan atau kesempitan. Ini kerana orang yang mengharapkan hidayah dan petunjuk sentiasa mengadakan dirinya dalam keadaan baik serta mengelakkan keburukan dan kesejahteraan.

Bagi menggambarkan kesan perlakuan baik atau buruk seseorang, Rasulullah SAW berkata,
"Dosa itu mengelisahkan hatimu dan kamu tidak suka apabila dia terlihat oleh orang lain, sedang kebaikan ialah suatu yang memuaskan hati dan menenangkan jiwa."

Kebenarannya, sebagai hamba bagi mendapatkan hidayah Allah kita perlu menjaga dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara seperti:
  1. Ketiadaan rasa cinta kepada Allah
  2. Kekurangan mengingati Allah melalui zikir serta ibadah
  3. Tidak menjaga pancaindera daripada berbuat dosa
  4. Kurang berdoa dan mengharap ramhat Allah
  5. Lalai serta menyibukkan diri dengan hal-hal keduniaan
  6. Kurang bersyukur dengan apa yang dimiliki
  7. Tidak istiqamah dalam beribadat
  8. Mempunyai sikap buruk iaitu sifat mazmumah
Bagi memperoleh hidayah Allah, kita perlu berusaha supaya:
  1. Menyendiri bagi bertafakur kepada Allah
  2. Sentiasa berzikir dan beristighfar kepada Allah
  3. Menjalin hubungan baik dengan makhluk
  4. Menjaga ibadah wajib serta memperbanyakkan amalan sunat
  5. Sentiasa membaca dan mengamalkan Al Quran
  6. Berzakat dan bersedekah
  7. Zuhud dalam kehidupan dunia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan