Khamis, 15 Januari 2015

MEJA RUNDING: DARI KONFLIK KE SOLUSI STRATEGIK

Bahagian 1 – Kenali Situasi Berunding

“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(al-Quran, Surah al-Anfal: 61)


1.            Pengenalan

Sejak zaman-berzaman, manusia menghadapai situasi sumber alam yang terhad, sama ada kawasan tanah atau wilayah, sumber galian, air dan sebagainya. Oleh yang demikian bagi membahagikan sumber itu manusia sentiasa berunding di antara satu sama lain.

                Perundingan sentiasa menjadi aktiviti yang dilakukan dan proses yang dilalui di antara orang perseorangan, organisasi korporat, pertubuhan, anggota masyarakat, puak atau kaum dan entity kerajaan sejak dahulu hingga sekarang. Bermakna kebolehan berunding merupakan kemahiran yang penting bagi sesiapa atau mana-mana pihak yang ingin menjaga kepentingan mereka.

                Pakar perunding dalam apa jua bidang sentiasa dicari dan khidmat mereka sentiasa diperlukan bagi menyelesaikan masalah konflik atau pembahagian sumber atau memeterai perjanjian. Contohnya dalam persengketaan peringkat keluarga, anggota keluarga yang dihormati dan berwibawa diminta bagi menyelesaikan masalah yang timbul itu. Manakala dalam perselisihan faham melibatkan anggota masyarakat di kampung, sering kali ketua kampung yang menjadi orang tengah atau perunding bagi menyelesaikan masalah.

                Dalam situasi korporat pula, pakar perunding selalu menjadi komponen penting dalam memeterai perjanjian dengan syarikat lain dalam urusan perniagaan atau dengan pembekal dalam perolehan bekalan untuk syarikat.


Rundingan Nabi Muhammad saw

Nabi Muhammad yang diutus Tuhan bagi menyebarkan agama Islam kepada umat manusia adalah perunding terbilang. Terdapat banyak contoh rundingan yang beliau sertai sejak beliau belum menjadi Rasul dan selepas beliau menjadi Rasul. Antaranya:

·         Beliau menjadi orang tengah kepada pihak yang bertelingkah ketika memindahkan batu hitam di Kaabah;

·         Beliau cuba berdakwah di Taif, semasa beliau terlebih dahulu berunding dengan orang tempatan bagi memperoleh perlindungan bagi diri beliau semasa berdakwah di Taif;

·         Beliau berunding dengan delegasi penduduk Madinah dalam perjanjian Aqabah yang akhirnya menjadi batu asas kepada perpindahan (hijrah) orang-orang Islam dari Mekah ke Madinah.

Apabila kita meneliti sejarah Perjanjian Hudaibiyah antara pihak Nabi Muhammad saw yang memimpin umat Islam Madinah dengan pihak Quraisy Mekah, kita dapat memahami betapa berjayanya beliau merundingkan perjanjian itu kea rah mengembangkan dakwah Islam. Semasa beliau keluar dari Madinah ke Hudaibiyah, pengikut yang menyertai beliau berjumlah 1,400 orang, manakala semasa beliau masuk ke Mekah pada hari pembukaan Mekah beliau disertai oleh 10,000 orang pengikut.

Strategi perunding beliau begitu berjaya sehinggakan Suhail bin Amru, pakar perunding Quraisy gagal mengesan objektif jangka panjang Nabi Muhammad.

Bagi menilai kehebatan strategi dan taktik yang digunakan oleh Nabi Muhammad adalah dengan meneliti resume Suhail bin Amru. Dia ahli politik yang pintar, bersifat penuh diplomasi dan seorang perunding yang bijak dengan menggunakan taktik perundingan yang agresif dan tegas. Sekali imbas, kita merasakan butiran Perjanjian Hudaibiyah berat sebelah dan menguntungkan pihak Quraisy. Tidak hairan ramai di kalangan sahabat beliau yang merasa kecewa dan tertekan selepas perjanjian itu dimeterai, sehingga Umar al-Khattab bertanya Nabi “Kenapa mereka (orang-orang Islam) harus menerima kehinaan terhadap agama Islam?

                Tetapi Perjanjian Hudaibiyah adalah titik perubahan (turning point) bagi perkembangan agama Islam. Selepas dimeterai perjanjian itu, Nabi Muhammad saw berupaya memberi penerangan mengenai Islam kepada semua warga Semenanjung Tanah Arab dalam keadaan aman dan tersusun. Sebelum Hudaibiyah warga bukan Quraisy melihat pertembungan di antara pengikut Nabi Muhammad saw dan warga Mekah dibawah pimpinan para pembesar Quraisy, sebagai satu pertelingkahan keluarga di antara dua kumpulan bertentangan yang mahu mencari pengaruh masing-masing. Dari para pembesar Quraisy mereka mendapat maklumat mengatakan bahawa Muhammad seorang pemberontak yang memimpin kumpulan kecil yang terdiri dari orang-orang miskin dan tertindas. Oleh yang demikian mereka mengambil sikap tunggu dan lihat. Apabila Nabi Muhammad saw berpindah (hijrah) ke Madinah mereka masih terpengaruh dengan cerita-cerita yang disebarkan oleh media Quraisy pada ketika itu, khususnya para diplomat Quraisy yang tentunya sentiasa berhubung dengan pemerintah-pemerintah di wilayah-wilayah sama ada dibawah pengaruh dua kuasa besar pada ketika itu, Rom atau Parsi.

                Majoriti warga Semenanjung Tanah Arab tidak berpeluang mendapat maklumat dari pihak Nabi Muhammad saw dan oleh sebab itu maklumat ajaran Islam tidak sampai kepada mereka. Hasilnya mereka tidak dapat membuat keputusan yang tepat mengenai agama yang disampaikan oleh Nabi. Kalau ada pun orang yang berpeluang mendapat maklumat tepat mengenai Islam dan Nabi Muhammad, mereka terdiri dari beberapa individu yang mengambil inisiatif secara bersendirian. Mereka datang sendiri bertemu Nabi Muhammad saw selepas mengharungi perjalanan yang jauh. Individu seperti Salman al-Farisi dari Parsi dan Said al-Rumi datang dari Rom datang ke Mekah bertemu Nabi Muhammad dan mendapat maklumat mengenai ajaran Islam. Ternyata apabila mereka mendengar sendiri dari Nabi Muhammad saw dan melihat sendiri watak Nabi Muhammad saw mereka tertarik hati dengan Islam dan akhirnya memeluk agama Islam dan menjadi pengikut kanan Nabi Muhammad saw.

                Selepas Hudaibiyah, wujud suasana aman dan Nabi Muhammad saw berpeluang mengutus surat kepada ketua-ketua wilayah di Semenanjung Tanah Arab, manakala para pendakwah yang mendapat tauliah beliau dapat bertemu warga wilayah itu bagi memberikan maklumat menerangkan ajaran Islam kepada mereka.

                Tidak syak lagi Perjanjian Hudaibiyah menjadi titik perubahan kepada perkembangan Islam. Hakikat ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberikan kepada Engkau (wahai Muhammad) kemenangan  yang nyata. Supaya Allah mengampuni kesalahan engkau yang telah lalu dan yang akan datang dan mencukupkan kurniaNya kepada engkau dan memimpin engkau ke jalan yang lurus. Dan untuk menolong engkau dengan pertolongan yang kuat.”
(Surah al-Fath: 1-3)


Kemahiran Berunding

Pada dasarnya, berunding bererti berbincang bagi mencapai satu persetujuan. Berunding juga bererti dua pihak atau beberapa pihak duduk berdepan dan berbincang demi mencapai persetujuan dalam menyelesaikan satu konflik atau pertelingkahan. Dalam proses perbincangan itu akan berlaku proses tawar-menawar sehingga pada akhir perbincangan itu, terhasil keputusan yang dipersetujui bersama oleh kesemua pihak yang terlibat dalam perbincangan itu. Biasanya rundingan menghasilkan satu kompromi atau tolak-ansur atau kata sepakat yang memuaskan hati kesemua pihak yang terlibat.

                Proses berunding memang sentiasa berlaku dalam semua aspek kehidupan manusia, dari kes yang sekecil-kecilnya seperti rundingan diantara sepasang suami isteri hingga kepada kes yang besar seperti rundingan dua negara bagi menyelesaikan perebutan sesebuah wilayah. Bagi mengenali dengan lebih mendalam definisi rundingan kita perlu meneliti pelbagai contoh perundingan dalam konteks dan situasi serta proses rundingan itu dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan