Ahad, 31 Mac 2013

Individu Sebagai Pemimpin

Burung daman terbang ke Daik
Kena perangkap diraja muda
Kalau ada pedoman yang baik
Sahaya pun cekap jadi nakhoda
(Abdullah Munshi)

Konsep Kepimpinan

Konsep kepimpinan masih lagi kabur. Konsep ini tidak ada batasan masa. Fokus konsep ini lebih kepada proses kejayaan dalam interaksi manusia. Ramai pengkaji sains sosial memberi tafsiran berbeza mengikut bidang keilmuan mereka. Ahli-ahli psikologi sosial melihat pemimpin sebagai kesan pengaruh peribadi, sedangkan ahli-ahli sains politik menyatakan pemimpin boleh sesiapa sahaja yang dapat mengisi peranan dan menggunakan kuasa (Aminuddin Mohd. Yusof, 1990). Pendekatan untuk memahami konsep kepimpinan ini perlu menggabungkan pendekatan seni dan pendekatan sains.


Definisi Kepimpinan

Kepimpinan berasal daripada dua kata Greek iaitu archein (memulakan, memimpin, memerintah) dan pattein (melalui, mencapai, menyudahkan). Makna ini mencadangkan kerjasama pemimpin dengan pengikut untuk menyempurnakan tugas. Majlis Bahasa Malaysia dan Indonesia pula menterjemahkan leadership dalam beberapa istilah berbeza. Pemimpin termasuk dalam pengurusan am, pengurusan ladang dan pentadbiran perniagaan. Kepimpinan merujuk kepada psikologi dan antrapologi. Kepimpinan memfokuskan kepada sosiologi dan pengurusan.

Terdapat lebih 350 definisi kepimpinan untuk menerangkan perlakuan pemimpin dan persekitaran. Tidak ada definisi kepimpinan yang sesuai untuk semua situasi kerana fenomena kepimpinan begitu kompleks. Para pengkaji sains sosial berpendapat fenomena kepimpinan boleh diperhatikan tetapi sukar untuk memahaminya (Bennis dan Nanus, 1985). Bagi tujuan ini, beberapa definisi kepimpinan yang popular telah dipilih.

1. Para ulama itu adalah obor (penyuluh) dipermukaan bumi Allah SWT dan sebagai pengganti (khalifah) para nabi dan sebagai waris kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW:
"Para ulama itu adalah pewaris nabi-nabi" (H.R. Ibnun Najjar dari Anas r.a)

"Para ulama itu adalah sebagai pelita  (obor) dipermukaan bumi ini sebagai pengganti para nabi dan aku (Muhammad SAW) juga sebagai pewaris para nabi" (H.R. Ibnu 'Ady dan Saidina Ali r.a)

2. Pemimpin sebagai individu dalam satu kumpulan  yang diberi tugas mengarah dan menyelaras aktiviti kumpulan atau orang lain semasa ketiadaan ketua (Fiedler, 1967).

3. Kepimpinan ialah pengaruh perhubungan antara pemimpin dengan pengikut yang berkeinginan untuk membuat perubahan sebenar bagi menghasilkan sesuatu yang menggambarkan tujuan bersama (Rost, 1993).


Prinsip Kepimpinan

Setiap budaya mempunyai prinsip kepimpinan tersendiri. Setiap prinsip kepimpinan itu tidak terkeluar daripada landasan agama, etika dan moral masyarakat.
1. Pemimpin mempunyai ilmu yang tinggi
2. Pemimpin bukanlah sebaik pengurus organisasi
3. Pemimpin sentiasa berkorban
4. Pemimpin menjadi pendorong utama
5. Pemimpin bukan perancang segala-galanya
6. Pemimpin mesti pandai membina hubungan
7. Pemimpin perlu memiliki kemahiran berpolitik
8. Pemimpin perlu cekap dalam berorganisasi
9. Pemimpin tahu menggunakan kuasa, bijak membuat keputusan dan bertanggungjawab
10. Pemimpin bersedia menanggung risiko, membuat perubahan dan bersedia meninggalkan jawatan apabila tiba masanya (Chek Mat, 2003)



Rukun Kepimpinan

Rukun kejayaan individu, kelompok, organisasi dan masyarakat masih bergantung kepada nilai-nilai agama, etika dan moral masyarakat.
1. Bekerja keras
2. Kuat belajar
3. Ada inisiatif
4. Mencintai tugas
5. Bertindak tepat
6. Semangat ingin menakluk
7. Membangunkan personaliti
8. Membantu dan berkongsi dengan orang lain.
9. Bersifat demokratik
10. Membuat sesuatu dengan terbaik (Manning dan Curtis, 2003)


Kenapa Kepimpinan Penting?

Pada tahun 2002, Who's Who in America melaporkan seramai lebih 125 000 pemimpin dunia telah wujud sepanjang peradaban manusia. Setiap pemimpin telah memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakatnya. Definisi dan konsep kepimpinan juga telah berubah. Gaya kepimpinan bertukar daripada gaya autokratik kepada gaya demokratik dan gaya bebas. Model-model kepimpinan berhierarki telah hilang pengaruhnya kerana digantikan oleh model-model penyertaan dan model-model penghakupayaan (empowering).

Bidang kajian kepimpinan biarpun kuno sifatnya tetapi tetap mendapat perhatian umum. Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat melaporkan terdapat sebanyak 9155 buku dan 6290 jurnal dalam bahasa Inggeris. Hampir kesemua universiti di Amerika Syarikat mengajar ilmu kepimpinan dalam kurikulumnya. Corak pergerakan perjuangan juga mengalami perubahan dari caring leadership kepada caring society.


Kategori Pemimpin

Secara umum terdapat tiga jenis pemimpin dalam sejarah peradaban manusia. Mereka dikategorikan sebagai guru, wira dan raja (Allen, 1945). Setiap pemimpin ini memiliki satu atau dua atau tiga jenis karakter pemimpin. Pada masa kini masyarakat moden lebih cenderung untuk mengkategorikannya sebagai pemimpin politik, pemimpin ekonomi dan pemimpin masyarakat.


Terdapat kajian kepimpinan mengenai karakter dan personaliti yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keturunan. Contohnya, Warren Bennis (1992) memberi penumpunan terhadap karismatik dan gaya keperibadian yang mempengaruhi organisasi. Kajian seterusnya mengenai tret-tret individu dalam teori-teori kepimpinan karismatik (Conger, 1991), kepimpinan transformasi (Bass, 1985) dan kewibawaan pemimpin (Kouzes dan Posner 1993). Kebanyakan hasil kajian mendapati faktor keturunan bukanlah faktor utama kejayaan tetapi dibantu oleh faktor persekitaran.

Untuk memahami perbexaan individu, kita mesti menilai kesan interaksi antara keturunan dengan persekitaran. Persekitaran dan suasana sosial boleh membentuk corak genetik untuk mempengaruhi personaliti pemimpin. Individu dan kelompok secara sedar akan dipengaruhi oleh budaya, pendidikan dan kekeluargaan. Kanak-kanak dari kecil sehingga tua dipengaruhi oleh persekitaran dan perlu belajar menguasainya. Kekuatan genetik sahaja tidak memadai bagi meneruskan kelangsungan hidup. Kemahiran memimpin yang berada dalam kemahiran kemanusiaan perlu dipelajari bersama dengan kemahiran konseptual dan kemahiran teknikal. Kebanyakan kajian kepimpinan sekarang ini memberi fokus kepada kepentingan persekitaran (Nahavandi, 2000).

[...bersambung]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan