Sarjana Islam dan Barat telah banyak mengkaji faktor kejayaan Rasulullah SAW yang banyak mengubah tamadun dunia dengan membina tapak perkembangan. Ketamadunan Islam di tengah-tengah kegawatan nilai dan akhlak manusia pada ketika itu. Di antara sunnah yang perlu diteliti dan dicontohi oleh kita adalah corak pengurusan dan pentadbiran Rasulullah SAW yang strategik dalam mengolah segala sumber yang ada secara efisien dan efektif.
Dengan menjadikan Rasulullah SAW dan beberapa tokoh-tokoh Islam lain sebagai role-model dalam menguruskan organisasi, 'kerajaan tempatan' mahupun gerakan Islam, maka artikle ini ditulis bagi menggambarkan betapa Islam itu mengajar kita untuk menjadi seseorang yang teratur lagi tersusun. Tujuan ianya disusun juga merupakan salah satu usaha penulis agar menjadikan ia satu bentuk catatan pengingat kepada diri dan juga sumber rujukan pada masa akan datang. Penekanan penulisan kali ini adalah berkisar tentang peri pentingnya memahami dan menguasai ilmu haraki dalam mencetus, merancang dan melaksanakan satu gerak kerja dakwah yang berkesan.
Menurut Saari Sungib, dalam buku karangannya, 'Tokoh-Tokoh Besar Gerakan Islam Dalam Sejarah: Kisah-Kisah Inspiratif Para Pemimpin Gerakan Islam Sedunia', menyatakan bahawa organisasi yang pintar adalah organisasi yang sentiasa mencari, mewujudkan dan mencipta kesepadanan antara persekitaran dalamannya dengan persekitaran luar di mana ia berfungsi dan beroperasi. Tambahnya lagi, organisasi yang berjaya ialah organisasi yang prihatin dan sensitif terhadap realiti di sekitarnya.
Kebanyakkan organisasi hari ini cuba mewujudkan pelbagai sistem dan kaedah perlaksanaan dalam mengharungi dunia berpersatuan. Maka, berkembang pesatlah penggunaan kaedah-kaedah dalam perancangan dan pengurusan organisasi yang strategik agar menepati realiti persekitaran dalam pelbagai senario bagi memastikan ianya berjalan seiringan dengan prinsip, agenda, objektif, misi dan visi organisasi masing-masing.
Memetik penulisan Saari Sungib;
'Bagaimana organisasi yang berdaya maju hari ini, perancangan strategik adalah satu proses yang bersifat 'bottom-up' dan 'top-down'. Ini bermakna semua lapisan aktivis dalam organisasi terlibat sama dalam melakar dan menjayakan strategi organisasi.
Sekiranya, ilmu-ilmu teras, fiqh dan usul al-fiqh pula merupakan bidang ulama dan faqih, apakah pula peranan ahli-ahli biasa pada hari ini dalam menggariskan strategi gerakan Islam dalam konteks waqi' dan realitinya?'
Dalam konteks gerakan Islam, integrasi diantara penguasaan ilmu fiqh asy syariah dan ilmu fiqh asy syariah adalah satu keperluan bagi menghasilkan satu gerak kerja dakwah yang mantap yang diterima oleh mad'u mereka. Fiqh asy syariah adalah ilmu yang memberi tumpuan dalam menepati maqasid syariah dan ianya didasarkan kepada tuntutan nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah serta perkara yang berkaitan dengan tuntutan syariat. Manakala Fiqh al waqi' pula adalah ilmu yang berdasarkan kajian dan tuntutan realiti.
Menurut Anuar Abu Taha, seorang pemikir Islam, fiqh al waqi' adalah ilmu yang berteraskan kepada pemahaman tentang apa yang benar-benar berlaku. Ianya melibatkan satu proses mengenalpasti, menganalisis dan mentafsir keadaan semasa, faktor-faktor serta kuasa yang mendominasi perjalanan kehidupan masyarakat. Dengan penguasaan ke atas ilmu ini, Dr Yusuf Al Qardawi menyatakan bahawa ianya dapat memenuhi tuntutan fiqh asy syariah dalam dunia kontemporari kini.
Bagi sesebuah gerakan Islam memenuhi tuntutan syariah dalam waqi' semasa, tambahan Dr Yusuf Al Qardawi lagi bahawa lima ilmu fiqh lagi diperlukan bagi membolehkannya memenuhi tuntutan gerak kerja dakwah dalam waqi' yang dihadapi oleh sesebuah gerakan Islam. Ilmu-ilmu ini adalah fiqh al-maqasid (ilmu bagi mengenali tujuan-tujuan yang digariskan oleh syariat Islam), fiqh al-aulawiyat (ilmu untuk memahami keutamaan yang akan diambil dan membezakan diantara tiga tingkatan amal Islami), fiqh as-sunan (ilmu memahami peraturan Allah dalam kejadianNya), fiqh al-muwazanah (ilmu bagi membolehkan gerakan Islam menimbangkan antara maslahah dan mafsadah) dan fiqh al ikhtilaf (ilmu berkaitan dengan kaedah-kaedah dan adab-adab perselisihan pandangan).
.:GharibItuIndah:.
*ingatkan daku, tak habis edit lagi ni.....
[mode: busy, exam fever, die-hard to write something..and updating my blog]