Selasa, 29 Oktober 2013

Rendang Tak Berbuah

"Sunyi dan gelap
Terlantar dalam telanjang
Di pintu rindu
Hidup dan matiku disisimu


Sakit yang datang
Menguji kasih dan sayang
Antara merenda semalam
Mungkin takkan berbuah


Hanya memadukan
Namun tidak mengenyangkan
Musafir lalu nan dahaga
Di jalan panas membara


Begitulah hakikatnya
Di mahligai kesakitan
Yang mengundang sahabat
Saudara jauh dekat
Menghembus nafas pilu


Ibu mengertilah
Aku sengsara
Lemas berendam airmata
Rendang kasihmu
Dalam gelora
Jadi rebutan selamanya


Berikanlah pengertian
Waktuku di hujung jalan
Berbicara bahasa duka
Tanda penyesalan


Manapun aku berlabuh
Pastinya untuk desamu
Biarpun tak bersubur
Biarlah tak tertangguh
Di telapak kakimu
Sakit kurasakan
Jadi peneman
Masa semalam yang silam"


DIKIR ZIKIR - Rendang Tak Berbuah (UNIC)

*****

Lain orang, lain tafsiran berkenaan lagu ini.

*****

Sebenarnya tak menyempat nak update blog, jadi post lagu fav ketika ini je. Sekurang-kurangnya satu bulan tu, ada la satu post.

*****

UKM hari ini konvokesyen untuk sidang terakhir (Fakulti Sains & Teknologi). Pilu juga laa lihat rakan-rakan graduasi. Takpa, dengan Izin Allah, merasa juga tahun hadapan.

****

Abdul Fattah Sadiq Bin Abd Hafidz
#RT4
Bandar Baru Bangi, Selangor.
29 Oktober 2013
12:57p.m.
****sedang giat menyiapkan FYP****

Isnin, 9 September 2013

Mengurus Persatuan - Objektif dan Faedah Berpersatuan


Persatuan merupakan sebuah organisasi formal di mana penubuhan dan pengurusannya tertakluk kepada peraturan, undang-undang dan akta yang ditetapkan. Persatuan perlu diuruskan atau ditadbir dengan baik bagi memastikan perjalanannya mencapai objektif dan matlamat penubuhannya. Dengan mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan seseorang ahli akan dapat menambah pengetahuan dan pengalamannya yang mampu mematangkan pemikiran dan meningkatkan keyakinan diri.

Satu elemen penting yang tidak boleh dipinggirkan dalam berpesatuan ialah konsep kesukarelaan. Konsep ini merujuk kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh ahli-ahli secara sukarela tanpa mengira waktu, tenaga dan wang ringgit dan bukan untuk memperoleh pendapatan atau keuntungan. Konsep kesukarelaan dapat digambarkan menerusi kesanggupan ahli persatuan menjalankan tugasan tanpa paksaan dan mengharapkan pembalasan. Selain dari itu, kegiatan berpersatuan juga amat penting dalam memupuk semangat toleransi, perpaduan dan menghapuskan perasaan prejudis.


1.0 Objektif Berpesatuan

Objektif berpesatuan pada dasarnya merujuk kepada operasi sesebuah persatuan yang berlandaskan kepada objektif dan matlamat persatuan. Sebelum sesebuah persatuan diwujudkan, ia hendaklah menetapkan terlebih dahulu objektif utama penubuhannya. Umumnya objektif berpesatuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, kebudayaan, ekonomi dan kerohanian serta memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Kemudian, ia akan menatijahkan setiap ahli persatuan untuk berusaha ke arah mengeratkan hubungan dan kerjasama dikalangan ahlinya bagi mencapai matlamat persatuan.

Dalam usaha untuk mencapai objektif persatuan, kegiatan atau aktiviti yang hendak dijalankan mestilah seiring dengan matlamat dan objektif persatuan yang ditubuhkan. Walaupun fokus aktiviti dan keahlian setiap persatuan adalah berbeza-beza, namun secara umumnya persatuan diwujudkan untuk mencapai objektif yang dapat diringkaskan seperti berikut:

i. Untuk mencapai objektif pembangunan sosial, kebudayaan, ekonomi dan kerohanian di kalangan ahli dan anggota masyarakat
ii. Membentuk organisasi yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat baik dari aspek fizikal mahupun bukan fizikal
iii. Untuk mengeratkan interaksi dan komunikasi yang boleh membina hubungan mesra dalam memupuk semangat kerjasama di antara ahli dengan masyarakat
iv. Memelihara keharmonian dan membentuk amalan bekerjasama dan kebajikan dikalangan ahli dan anggota masyarakat
v. Menggalakkan keterlibatan ahli dalam kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan untuk faedah bersama selaras dengan objektif persatuan dan kehendak masyarakat
vi. Menggalakkan ahli terlibat dalam aktiviti yang dapat meninggkatkan pemahaman terhadap pembangunan masyarakat
vii. Meninggkatkan kualiti kepimpinan dalam organisasi
viii. Melahirkan dan menerapkan amalan pengurusan yang terpuji dan nilai-nilai murni dikalangan ahli.


2.0 Prinsip Berpersatuan

Prinsip-prinsip persatuan pula merujuk kepada keperluan untuk menjadi ahli, mengurus persatuan dan bagaimana persatuan dapat memberi faedah bersama. Sebagai ahli persatuan, kita hendaklah memahami dan mengetahui tentang prinsip-prinsip berpesatuan untuk memudahkannya memainkan peranan dalam menggerakkan persatuan seiring dengan objektif dan matlamatnya. Tanpa memahami prinsip-prinsip persatuan memungkinkan timbul kekeliruan dikalangan ahli yang akhirnya akan menimbulkan konflik. Umumnya terdapat tiga prinsip berpesatuan iaitu:
1. Keahlian adalah secara sukarela
2. Pengurusan secara demokrasi
3. Pertubuhan untuk faedah bersama


3.0 Komitmen Terhadap Persatuan

Urusan pentadbiran persatuan biasanya dikendalikan oleh satu gabungan tenaga ahli atau jawatankuasa yang dipilih dan diamanahkan oleh ahli-ahli melalui proses pemilihan secara sah seperti dalam mesyuarat agung. Gabungan jawatankuasa ini bertanggungjawab terhadap persatuan untuk memastikannya terus bergerak dan menjalankan berbagai-bagai aktiviti untuk kebaikan ahlinya. Memang terdapat ahli persatuan yang benar-benar komited dan sanggup berkorban menyumbangkan tenaga, masa dan wang ringgit malahan sanggup berusaha bersungguh-sungguh melakukan apa sahaja untuk meletakkan persatuan yang mereka ceburi di tempat yang baik. Kadangkala ahli-ahli yang komited sanggup mempertahankan persatuan yang mereka ceburi daripada diganggu gugat oleh mereka yang cuba menjatuhkannya.

Komitmen terhadap persatuan boleh ditakrifkan dengan beberapa cara berbeza. Komitmen terhadap persatuan adalah suatu sikap yang menggambarkan kesungguhan dan kesanggupan ahli melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan terhadap persatuannya. Menurut Azimi dan Turiman (1998) komitmen terhadap organisasi persatuan dirangkumi tiga konsep utama iaitu menerima maklumat, bersedia bekerja kuat dan ingin kekal di dalam pertubuhan yang dianggotainya. Grusky (1966) mendefinisikan komitmen sebagai sifat hubungan seseorang ahli kepada suatu sistem secara keseluruhan. Justeru, konsep komitmen merujuk kepada ketaantan seseorang, kesediaannya menyumbangkan usaha dan tenaga untuk persatuan yang mempunyai matlamat ke arah kesejahteraan ahli.

Komitmen yang keterlaluan terhadap persatuan kadang kala boleh menimbulkan konflik dikalangan ahli-ahlinya. Dalam sesebuah persatuan, konflik dikalangan pihak pengurusan dan ahli-ahlinya tetap ada. Biasanya konflik yang berlaku terbahagi kepada dua iaitu konflik yang membawa manfaat dan tidak bermanfaat.

Komitmen pemimpin dalam persatuan merupakan salah satu elemen yang penting dalam pengurusan persatuan. Kepimpinan ialah keupayaan atau kebolehan individu atau kumpulan manusia yang mampu mempengaruhi orang lain membuat sesuatu mengikut kehendak mereka. Robiah (1993) menjelaskan kepimpinan adalah aktiviti atau tindakan mempengaruhi, kemampuan mengajak, keupayaan mengarah, proses meyakinkan, seni memujuk, cara mempengaruhi orang lain untuk mengerjakan sesuatu. Seorang pemimpin itu memperolehi kuasa memimpin melalui proses pemilihan yang dibuat berdasarkan personaliti, kewibawaan dan aktiviti yang dijalankan. Pemimpin yang berwibawa bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman tetapi juga perlu bekerja untuk membina kuasa dalaman melebihi kuasa fizikal. Ibrahim Mamat (1997) pula menyatakan pemimpin yang tulen ialah orang yang cekap yang mempunyai tanggungjawab dalam mengatur, mengurus, mentadbir dan memandu orang yang dipimpinnya.

Peranan dan komitmen ahli-ahli dalam berpesatuan pula dapat dilakukan dengan menyokong aktiviti yang dijalankan. Sokongan ahli dapat diperkukuhkan melalui penyertaan dan penglibatan secara langsung bagi menjayakan sesuatu program atau aktiviti yang dijalankan. Penyertaan dan sokongan akar umbi menunjukkan kekuatan dan kesatuan ahli-ahli dalam sesebuah persatuan di samping memperlihatkan kemampuan kepimpinan dalam berpesatuan bagi menggerakkan ahli-ahlinya turut serta dalam semua aktiviti yang dijalankan bagi mencapai objektif persatuan. Akhirnya kedua-dua komitmen pemimpin dan ahli persatuan merupakan indikator dalam mengukur keupayaan sesebuah persatuan itu bergerak dengan lebih mantap dan berjaya.

4.0 Faedah Berpersatuan

1. Membina semangat kerjasama
2. Memupuk perpaduan
3. Kebolehan bersosial
4. Memupuk bakat pemimpin
5. Membina personaliti yang baik
6. Mampu membujuk dan mempengaruhi
7. Berfikiran rasional
8. Mampu membina keyakinan diri
9. Membentuk sifat kejujuran
10. Dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik
11. Menerapkan nilai murni

Ahad, 4 Ogos 2013

Di Mana Pemimpin Belajar dan Harapan Rakyat

Pemimpin dan pengikut perlu belajar seni memimpin. Oleh itu terdapat 10 input penting yang perlu dipelajari. Ianya boleh dipelajari menerusi buku-buku dan pembelajaran formal. Banyak institut latihan yang menyediakan kursus-kursus kepimpinan dan pengurusan. Institut berperanan sebagai 'pembentuk', bukan 'pemimpin'. Pemimpin belajar memimpin melalui pengalaman. Pengalaman berorganisasi boleh menambahkan lagi peningkatkan kualiti kepimpinan diri, dan memperluaskan rangkaian kerja merupakan satu pengalaman berharga. Pada masa yang sama, mencontohi pemimpin melalui teladan dan belajar dari kesalahan boleh dijadikan panduan. 10 input penting itu adalah:

1. Teori-teori kepimpinan.
2. Kuasa dan pengaruh visi.
3. Etika kepimpinan.
4. Penghakupayaan (empowerment).
5. Dasar-dasar kepimpinan.
6. Memahami kepengikutan.
7. Keberkesanan dan kecekapan berganda.
8. Memotivasi dan memajukan orang lain.
9. Pengurusan prestasi.
10. Teknik dan strategi memimpin.

2.0 Gabungan Kemahiran dan Kompetensi Memimpin

Perkataan kemahiran sering disebut dalam pelbagai makna seperti kecekapan, kepandaian, terlatih dan kompeten. Namun, kompetensi lebih luas maknanya jika dibandingkan dengan kemahiran. Kompetensi ialah satu set gabungan kemampuan, perlakuan, sikap dan pengetahuan yang diperlukan oleh individu untuk menjadi lebih cekap dan profesional. Kemahiran lebih bersifat hard-skills sementara kompetensi merangkumi soft-skills dan hard-skills.

10 kemahiran kepimpinan klasik (+6 kemahiran kepimpinan baru):
i. Penggunaan kekuasaan
ii. Kekuatan motivator
iii. Kebolehan membuat keputusan
iv. Kesanggupan berbakti
v. Ketegasan
vi. Pencapaian hasil
vii. Berorientasikan tugas
viii. Integrasi dan diplomasi
ix. Ketelusan dan keseimbangan
x. Kekuatan semangat pemimpin
xi. Kemahiran berfikir secara sistematik dan memimpin sistem
xii. Kemahiran memahami kepelbagaian kerja
xiii. Kemahiran belajar dalam organisasi
xiv. Kemahiran memahami perlakuan manusia
xv. Kebergantungan antara sistem, variasi, perlakuan dan pembelajaran
xvi. Kemahiran menetapkan visi, pengarahan dan fokus organisasi.

7 Kompentensi Memimpin:
i. Kompetensi diri
ii. Kompetensi komunikasi
iii. Kompetensi kepelbagaian (diversity)
iv. Kompetensi tatasusila
v. Kompetensi silang budaya
vi. Kompetensi pasukan
vii. Kompetensi perubahan

2.0 Kualiti Kepimpinan

Setiap orang adalah pemimpin. Apa yang berbeza ialah jenis-jenisnya sahaja yang dapat dikategorikan sebagai pemimpin karismatik, pemimpin pelapis dll. Setiap dari mereka memiliki ciri-ciri berbeza mengikut kemampuan dan daya kepimpinannya.

Menurut Manning dan Curtis (2003), terdapat 10 kualiti kepimpinan yang dapat mempengaruhi pengikutnya. Karakteristik kualiti kepimpinan itu diketahui melalui:
i. penetapan visi;
ii. kemampuan bekerja;
iii. semangat kental;
iv. kestabilan diri;
v. prihatin terhadap pengikut;
vi. keyakinan diri;
vii. ketekalan perjuangan;
viii. penuh tenaga;
ix. kekuatan karismatik;
x. ketahanan integriti.

Empat ciri lain yang penting, menurut Northouse (2000), termasuklah kecerdikan, keazaman, keluhuran akhlak dan kebolehan bergaul.

Imam Ghazali telah mengemukakan empat syarat untuk melayakkan individu menjadi pemimpin negara, iaitu kuat dan berwibawa (an Najdah), bijaksana dan kekuatan daya fikir (al Kifayah), bersih dan berintegriti moral (al Wara') dan berilmu (al Ilm). Al Farabi pula mementingkan tingkah laku kesempurnaan pemimpin iaitu baik kefahaman tentang sesuatu, bijaksana, sentiasa menuntut ilmu, cintakan kebenaran dan bencikan pembohongan, jiwa besar dan berhemah tinggi, tidak mengumpul kekayaan, pro-keadilan dan anti-kezaliman serta diakhiri dengan keberanian dan kuat semangat.

Tenas Effendy (2000) telah memberikan 13 karakter pemimpin terbaik yang pastinya masyarakat akan menerima kepimpinannya, iaitu:
1. Pemimpin banyak tahunya
2. Pemimpin banyak tahannya
3. Pemimpin banyak bijaknya
4. Pemimpin banyak cerdiknya
5. Pemimpin banyak pandainya
6. Pemimpin banyak arifnya
7. Pemimpin banyak relanya
8. Pemimpin banyak ikhlasnya
9. Pemimpin banyak taatnya
10. Pemimpin banyak sedarnya
11. Pemimpin banyak tindaknya
12. Pemimpin mulia budinya
13. Pemimpin mulia duduknya

Biar apa pun istilah yang digunakan, setiap pemimpin perlu memiliki dan menguasai ilmu kepimpinan. Pemimpin yang baik akan terus belajar, berfikir dan bertindak mengikut visi perjuangannya. Kewujudan pemimpin kura-kura, gelembung, duit dll akan ditolak oleh masyarakat. Harapan rakyat kepada pemimpin sangat tinggi. mereka mahukan pemimpin yang berintegriti bukan pemimpin tidak beramanah dan hipokrit. Pemimpin berwibawa selalu menyatakan kebenaran, ketelusan dan keadilan. Mereka juga mahu pemimpin yang berkualiti dan berkemahiran dalam pengetahuan bekerja. Pemimpin berbakti dan memperjuangkan nilai-nilai mulia akan mendapat sanjungan dan pengiktirafan dunia dan akhirat.