Rabu, 31 Julai 2013

Luasnya Pengampunan Allah SWT

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepadaKu maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau meminta ampun kepadaKu nescaya Ku ampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepadaKu dengan kesalahan seluas permukaan bumi, lalu engkau menemuiKu tanpa menyekutukan sesuatu pun denganKu, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula."
(Riwayat at-Tirmizi no: 3534 dan al Baghawi dalam Syarhus Sunnah)
Pengajaran:

1. Bagaimana mendapatkan keampunan daripada dosa yang telah dilakukan?

  • Berdoalah dengan diiringi harapan agar dimakbulkan.
  • Fokus serta konsentrasi ketika meminta doa. Doa tidak diterima daripada hati orang yang lalai dan kosong daripada harapan.
  • Ketaatan yang bersungguh-sungguh kepada Allah SWT.
  • Penuh keyakinan tanpa sebarang keraguan.
  • Tidak terburu-buru mengharapkan doa segera dimakbulkan Allah SWT.
  • Mencari rezeki yang halal. 
2. Permohonan seorang hamba Allah boleh dialihkan Allah SWT kepada yang lebih baik.

3. Hendaklah memenuhi adab-adab ketika serta tempat berdoa.

4. Mintalah ampun walau sebesar mana dosa yang telah dilakukan.

5. Istighfar (permohonan ampun) hendaklah diikuti dengan taubat (meninggalkan dosa dan tidak mengulanginya).

6. Jika kita meminta ampun tetapi tetap melakukan dosa, maka ada kemungkinan permohonan ampunan kita tidak diterima Allah SWT.

7. Orang yang berdusta dalam bertaubat seperti orang yang ingin menuai padi tetapi tidak pernah menanamnya atau orang yang ingin mendapatkan anak tetapi belum berkahwin.

8. Berjanjilah dalam taubat untuk tidak mengulangi sesuatu dosa itu.

9. Orang yang telah melakukan dosa yang tidak terkira banyaknya hendaklah meminta ampun daripada Allah SWT.

10. Seseorang yang telah beristighfar hendaklah berasa yang ia bernaung di bawah zat Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana sehingga hatinya berasa tenang, dan dadanya berasa lapang. Ia merasakan kasih dan keredhaan Allah SWT sentiasa bersamanya. Ini akan menjadikan ia optimis dalam mengharungi kehidupan baru.

11. Hendaklah berbaik sangka dengan Allah SWT.

12. Kuatkan perasaan takut kepada Allah SWT apabila kita berada dalam keadaan sihat dan kuatkan perasaan berharap apabila kita berada dalam keadaan sakit atau terdesak.

13. Bertauhid kepada Allah adalah kunci mendapat keampunan. Orang yang beriman dan tidak melakukan syirik tidak kekal dalam neraka, akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.